Peralatan tangkap ikan haram bernilai lebih RM615,000 dirampas di Kedah, Perlis

Bernama
Januari 19, 2024 18:15 MYT
Wan Muhammad (dua, kanan) menunjukkan bubu naga yang dirampas dalam Operasi Khas di perairan Kedah dan Perlis, hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Sebanyak 1,494 unit bubu naga serta peralatan menangkap ikan haram bernilai RM615,280 dirampas dalam operasi khas dilaksanakan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di perairan Kedah dan Perlis bermula 15 Jan lepas hingga hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) DOF Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata menerusi operasi yang disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis itu, DOF turut merampas 34 set rawa sorong, 11 bidang pukat rawa sorong dan 13 unit bot fiber yang tiada lesen.
Beliau berkata dalam tempoh sama sebanyak 22 kes dicatatkan dengan 14 kes membabitkan vesel penangkapan ikan melanggar syarat lesen, manakala lapan kes sitaan peralatan yang tidak dibenarkan di bawah Akta Perikanan 1985.
"Memang kita tak nafikan ia pelanggaran yang serius kerana kalau kita lihat tahun ini sahaja belum pun sampai Disember kita dah ada 1,494 rampasan bubu naga berbanding sepanjang tahun lepas hampir 2,000 rampasan dan ini memang serius dan bukan saja di Kedah tapi juga di Perlis.
"Penggunaan bubu naga dan rawa sorong boleh merosakan ekosistem hidupan laut, ia sepatutnya digunakan dengan betul dalam industri akuakultur tapi disalahgunakan hinggga udang, sotong dan anak anak ikan serta benih ikan terperangkap," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika Operasi Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan (MCS) Zon Panta Barat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) siri 1/2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata operasi bersepadu akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan nelayan di kedua-dua negeri berkenaan mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikut Akta Perikanan 1985 seterusnya menjamin sumber perikanan negara.
"Operasi ini bagi memantau, mengawasi dan mengawal aktiviti perikanan. Penangkapan ini selaras dengan tatacara pengurusan perikanan dan memelihara sumber perikanan dalam menentukan keterjaminan bagi generasi akan datang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata DOF sedang dalam proses untuk mendapatkan lima set 'air boat' bagi meningkatkan keberkesanan pengawasan di kawasan laut cetek berhampiran pantai.
"Sekarang ini kita ada tiga yang ditempatkan di Selangor dan Perak dan kita nak tambah lagi lima air boat yang akan ditempatkan di sebelah utara dalam usaha meningkatkan keberkesanan dalam penguatkuasaan kita di tepi pantai," katanya.
-- BERNAMA
#peralatan menangkap ikan haram #Jabatan Perikanan Malaysia #perairan Kedah #Perlis #APMM
;