Peralatan kilang proses barangan plastik musnah dalam kebakaran
Aida Aziz
Februari 18, 2023 11:00 MYT
Februari 18, 2023 11:00 MYT
IPOH: Peralatan mesin dan fiber musnah dalam kejadian kebakaran di sebuah kilang memproses barangan plastik dekat Pasir Puteh, di sini, hari ini.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II Shahrizala Abu Hanafiah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dengan dibantu BBP Ipoh bergegas ke lokasi.
"Kebakaran membabitkan peralatan mesin dan fiber yang terbakar di bahagian dalam sebuah kilang memproses barangan plastik.
"Anggaran kemusnahan kira-kira 20 peratus, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, anggota kemudian melakukan kerja memadam api dengan menggunakan satu aliran hose reel sehingga berjaya sepenuhnya.
Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 8.27 pagi.