Perak umum tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM6.2 juta

Aida Aziz
Jun 16, 2021 17:06 MYT
Saarani berkata, tambahan RM6.2 juta itu setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan keluh kesah rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19. - Gambar fail
IPOH: Kerajaan negeri meluaskan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang sebelum ini bernilai RM19.5 juta kepada RM25.7 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tambahan RM6.2 juta itu setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan keluh kesah rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.
"Pada 2 Jun lalu, saya mengumumkan PRE Perak Sejahtera 2021 bernilai RM19.5 juta bagi menghadapi impak pandemik COVID-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
"Setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan keluh kesah rakyat, kerajaan negeri bersetuju untuk meluaskan pelaksanaan PRE Perak Sejahtera 2021 kepada lebih ramai golongan yang terjejas," katanya pada sidang media secara maya di sini pada Rabu.
Saarani berkata, antara inisiatif tambahan yang akan dilaksanakan adalah moratorium bayaran balik pinjaman mikro kredit usahawan di bawah Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Yayasan Perak selama sebulan bermula Jun ini.
"Kemudahan ini akan memanfaatkan seramai 743 usahawan dan melibatkan tunggakan bayaran sebanyak RM244,450," katanya.
Selain itu moratorium pinjaman Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) diperluaskan kepada semua peminjam iaitu seramai 769 berbanding 443 peminjam yang diumumkan sebelum ini.
Ujarnya lagi, turut diberikan pelaksanaan inisiatif Go Cashless n E-Commerce Usahawan Perak 2021 (GLeMMER 2021) yang bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai oleh penjaja, peniaga dan usahawan yang beroperasi ketika pelaksanaan PKP.
"Melalui program ini, kerajaan negeri akan memberi baucar subsidi bagi pembelian dan penghantaran bernilai RM2 hingga RM5 yang akan memberi manfaat kepada 80,000 peniaga, penjaja dan usahawan.
"Program ini mendapat kerjasama daripada sembilan syarikat platform atas talian dan penghantaran iaitu Shopee, Lazada, Grab, Foodpanda, Warongku, Halo Je, J & T, Touch n Go dan Boost,"katanya.
Beliau berkata, selain itu insentif bagi penggiat pelancongan yang diumumkan sebelum ini akan diperluaskan melalui pemberian bantuan one-off kepada pengusaha hotel bajet negeri Perak yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet Malaysia Negeri Perak (MyBHA Perak) serta pengusaha hotel dan resort Pangkor.
"Bagi hotel bajet MyBha Perak, seramai 45 pengusaha akan diberi one-off RM2,000 dengan keseluruhan RM90,000, manakala 38 pengusaha Pangkor juga diberi one-off RM2,000 dengan keseluruhan RM76,000," katanya.
Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus mendapatkan input dan memantau situasi di lapangan terutamanya di kawasan yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan nasib rakyat yang terjejas sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.
#Perak #kerajaan negeri #Menteri Besar #Saarani Mohamad #PRE #pakej rangsangan ekonomi #tambahan #COVID-19
;