Perak umum Bantuan Khas Kewangan sebulan setengah gaji untuk penjawat awam

Amirrul Rabbani
Disember 22, 2022 18:56 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini. - Foto BERNAMA
IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan dengan kadar satu setengah bulan gaji dan minimum RM2,000 kepada penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembayaran sepenuhnya bantuan kewangan itu akan dibuat pada tahun semasa.
Walau bagaimanapun, katanya pemberian berkenaan dikecualikan kepada Menteri Besar dan Barisan Exco Kerajaan Negeri.
“Atas dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi serta kesediaan berkorban masa dan tenaga dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan, penjawat awam selayaknya diberi penghargaan.
“Oleh itu, kerajaan negeri dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan pada kadar satu setengah bulan gaji dan minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
“Ia termasuk Ex-Officio (Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri serta Pegawai Kewangan Negeri), semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ), serta Pekerja Sambilan Harian (PSH),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan dekat sini, pada Khamis.
Pada masa yang sama, Saarani mengumumkan peruntukan RM2.0 juta bagi tuntutan bayaran awal gantian cuti rehat kepada penjawat awam yang layak.
Turut diumumkan peruntukan RM2.0 juta bagi insentif khas pesara dan RM0.05 juta untuk insentif mengerjakan umrah atau keluar negara.
#Perak #bantuan khas kewangan #penjawat awam #Saarani Mohamad
;