Perak tubuh Skuad Up2Date percepat kemas kini data e-Kasih

Bernama
Mei 9, 2022 05:15 MYT
Saarani berkata penubuhan Skuad Up2Date itu mampu mengatasi beberapa isu kemas kini data yang sering berlaku sebelum ini. - Foto fail/BERNAMA
IPOH: Kerajaan negeri menerusi Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Perak menubuhkan 'Skuad Up2Date' bagi memastikan kecekapan pengemaskinian maklumat peserta data e-Kasih dengan memendekkan tempoh bancian semula daripada dua tahun kepada hanya lima hari bekerja sahaja.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penubuhan itu bagi memastikan data serta maklumat peserta e-Kasih sentiasa dikemas kini seterusnya memudahkan kerajaan serta pemegang taruh melaksanakan perancangan serta dasar berkaitan kesejahteraan rakyat dengan lebih tepat.
"Sebelum ini, PPN Perak melaksanakan proses pemutihan ke atas peserta e-Kasih setiap dua tahun sekali bagi memastikan ketepatan maklumat di dalam sistem e-Kasih dengan melawat berdasarkan tarikh akhir lawatan pembanci PPN Perak.
"Namun, dengan pengenalan inisiatif baharu ini proses pemutihan adalah berdasarkan kumpulan sasar yang telah dikenal pasti bagi memudahkan pemakluman pengemaskinian maklumat oleh peserta e-Kasih terutamanya golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKT)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Saarani berkata penubuhan Skuad Up2Date itu mampu mengatasi beberapa isu kemas kini data yang sering berlaku sebelum ini termasuk peserta yang berpindah, meninggal dunia, pertambahan isi rumah atau pertambahan jumlah pendapatan.
Beliau berkata bermula 16 Mei depan, pelekat Kod QR akan dibekalkan kepada semua responden yang dilawati semasa proses pemutihan dan verifikasi e-Kasih yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
"Mereka hanya perlu membuat imbasan dan mengemas kini maklumat dengan menggunakan Google Form yang disediakan.
"Skuad Up2Date kemudiannya akan turun ke lapangan bagi mengesahkan maklumat yang dikemukakan dan seterusnya malumat yang diperoleh akan dikemas kini di dalam sistem e-Kasih," katanya.
Saarani berkata PPN Perak dengan kerjasama pentadbiran penghulu mukim turut memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu bermula 1 April lepas iaitu permohonan pendaftaran baru e-Kasih melalui sistem e-Penghulu yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.
"Inisiatif ini dapat membantu mengelakkan kesilapan maklumat peribadi semasa mengisi borang melalui MyKad Reader ePenghulu dan pemohon tidak perlu lagi mengisi borang permohonan secara manual," katanya.
-- BERNAMA
#Saarani Mohamad #Skuad Up2Date #e-Kasih #maklumat
;