Perak Transit Berhad jenamakan semula MyBAS kepada BAS.MY

Bernama
Disember 17, 2024 11:50 MYT
BAS.MY merangkumi enam laluan dari Medan Kidd ke beberapa kawasan utama seperti Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor, Pasir Puteh, Pengkalan Sentosa, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, serta Taman Botani. - Foto DagangNews
IPOH: Syarikat pengendali bas, Perak Transit Berhad menjenamakan semula perkhidmatan bas henti-henti yang beroperasi di Perak, MyBAS kepada BAS.MY.
Perak Transit Berhad dalam kenyataan memaklumkan penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama dan warna tetapi komitmen untuk terus mempertingkatkan perkhidmatan dengan lebih efisien, selesa dan mesra pengguna.
Langkah ini dijangka memberikan nafas baharu kepada perkhidmatan bas henti-henti di negeri tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, laluan BAS.MY merangkumi enam laluan dari Medan Kidd ke beberapa kawasan utama seperti Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor, Pasir Puteh, Pengkalan Sentosa, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, serta Taman Botani.
Selain itu, perkhidmatan BAS.MY juga meliputi laluan dari Medan Kidd ke Batu Gajah dan Seri Iskandar.
-- BERNAMA
#perak transit berhad #penjenamaan semula #perkhidmatan bas henti-henti #BAS MY
;