Perak timbang pasang lebih banyak sistem amaran awal bencana di taman ekorimba

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 18, 2022 19:02 MYT
Mohamed Zin selepas merasmikan program Central Forest Spine (CFS) Showcase bersama pemegang taruh peringkat negeri Perak di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Jabatan Perhutanan Perak menimbangkan cadangan untuk membina lebih banyak Sistem Amaran Awal (EWS) di taman ekorimba di seluruh negeri yang berisiko dilanda fenomena, terutamanya kejadian tanah runtuh dan kepala air, susulan keadaan cuaca tidak menentu tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, sebagai permulaan, sistem itu akan dipasang di Taman Ekorimba Lata Iskandar dan Kledang Saiong.
Menurutnya, kedua-dua lokasi itu adalah projek perintis dan jika berkesan ia akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.
“Kita dalam proses untuk sebut harga dan ini adalah peringkat projek rintis, sekiranya sistem ini berjaya, mungkin tahun hadapan akan dipasang di beberapa tempat lagi,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Central Forest Spine (CFS) Showcase bersama pemegang taruh peringkat negeri Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini terdapat 13 buah taman ekorimba di seluruh negeri Perak.
Di samping itu, katanya, terdapat juga sistem amaran yang dipasang di beberapa lokasi di negeri ini dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Pada 9 Ogos lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Indera Mohd Ridza Awang berkata, pihaknya akan memasang Sistem Amaran Awal (EWS) di 20 taman ekorimba di seluruh negara yang berisiko dilanda fenomena, terutamanya kejadian tanah runtuh dan kepala air.
Menurutnya, buat permulaan, lapan alat EWS melibatkan kos RM3.2 juta akan dipasang, antaranya, di Taman Ekorimba Lata Iskandar, Perak; Kledang Saiong, Perak; Sungai Tua, Selangor dan Taman Ekorimba Sungai Pandan, Pahang.
Katanya, baki 12 alat pengesanan bencana itu akan dipasang di kawasan Taman Ekorimba berisiko di sekitar negeri Perak, Selangor dan Pahang, selewat-lewatnya akhir tahun ini.
#sistem amaran awal #EWS #Jabatan Perhutanan Perak #Mohamed Zin Yusop
;