Perak timbang cadangan adakan pertemuan Adun ganti sidang Dun - Saarani

Amirrul Rabbani
Mac 15, 2021 15:13 MYT
Adun Manjoi mencadangkan agar perjalanan pertemuan itu sama dengan sidang Dun namun tidak menggunakan aturan rasmi Mesyuarat Sidang DUN seperti penggunaan cokmar dan sebagainya. - Gambar fail
IPOH: Perak bersedia mempertimbangkan cadangan untuk diadakan perjumpaan atau pertemuan dengan 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi menggantikan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh darurat.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata walau bagaimanapun ianya perlu diteliti dan dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri supaya tidak dilihat melanggar mana-mana peruntukan di bawah Ordinan Darurat yang sedang dikuatkuasakan.
“Ini saya rasa cadangan yang baik sebabkan kita tidak boleh mengadakan perhimpunan ataupun sidang Dewan Undangan Negeri, kerana terikat dengan Ordinan Darurat.
“Tetapi hanya tujuan untuk perjumpaan biasa ini dia tak perlu diwartakan. Kerana ia tidak melibatkan kehadiran di dalam Dewan Perhimpunan serta tidak melibatkan pakaian rasmi dan sebagainya.
“Cuma soalannya sama ada dia nak diurussetiakan siapa? Diuruskan oleh Speaker ke, diurussetiakan oleh Pejabat Menteri Besar ke, diurussetiakan oleh pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke.
“Justeru perkara ini kita kena bincangkan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri. Sebab kita tidak mahu dilihat nanti ada orang salah faham seolah-olah kita mengadakan Sidang Dewan haram pula,” katanya.
Semalam, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi mencadangkan agar diadakan satu pertemuan antara Adun di negeri itu bagi menggantikan persidangan Dun yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh darurat.
Asmuni yang juga Adun Manjoi mencadangkan agar perjalanan pertemuan itu sama dengan sidang Dun namun tidak menggunakan aturan rasmi Mesyuarat Sidang DUN seperti penggunaan cokmar dan sebagainya.
Sementara itu Saarani yang juga Adun Kota Tampan berkata cadangan itu dilihat baik yang mana ia dapat memberi ruang kepada kerajaan negeri membentangkan laporan terkini berkenaan pencapaian dan cadangan yang sedang dirangka bagi pembangunan negeri kepada kesemua Adun.
“Kita juga hendak melaporkan status pungutan cukai, status kewangan kita, status perbelanjaan dan sebagainya. Pada masa sama kita boleh memperoleh pandangan daripada kesemua Adun untuk kita memperbaiki gerak kerja kerajaan negeri.
“Ianya tidak perlu dibahaskan dalam dewan kerana ia bukan Sidang Dun tetapi ia hanya perjumpaan dan taklimat biasa yang boleh dibuat di mana-mana, asalkan tujuannya sampai,” jelas beliau.
Terdahulu Saarani ditemui pemberita pada Sesi Cabutan Kerja Undi Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Halizah Sipun serta Pengarah JKR Perak, Zulkipli Nasri.
#DUN Perak #Sidand Dun Perak #Menteri Besar Perak #Saarani Mohamad
;