Perak tidak ubah portfolio Exco ikut kementerian - MB
Abd Razak Mohd Ali
Disember 13, 2022 14:03 MYT
Disember 13, 2022 14:03 MYT
IPOH: Perak tidak akan mengubah portfolio Exco Kerajaan Negeri untuk mengikut kementerian yang dibentuk kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, portfolio yang ada akan kekal seperti yang diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, ia akan diubah suai dari segi agensi dan jabatan-jabatan yang berkaitan.
“Kita ada 10 sahaja Exco tapi jika didapati seorang Exco terpaksa berkhidmat sampai empat kementerian, itu tak berapa bagus kerana Exco biasanya kita beri untuk berkhidmat di bawah dua atau tiga kementerian.
“Selain itu seboleh mungkin kita nak elakkan lebih daripada seorang Exco bertumpu kepada satu kementerian supaya tidak berlaku apabila satu kementerian mengadakan mesyuarat, dua atau tiga Exco Kerajaan Negeri pergi mesyuarat serentak.
“Jadi kita tak ubah portfolio, kita ubah suai dari segi jabatan atau agensi yang berada di bawah Exco Kerajaan Negeri,” katanya selepas program Selamat Pagi Saarani di Jabatan Penyiaran Malaysia Perak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Saarani memberitahu, Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan minggu hadapan akan selari Pelan Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada sekuriti makanan, modal insan dan kecekapan pentadbiran kerajaan di samping peluang perusahaan serta perniagaan.
Jelasnya, ini kerana pelan tersebut dibangunkan berasaskan kehendak rakyat Perak dan telah mendapat pandangan dari pelbagai pihak, termasuk bekas wakil rakyat dan wakil rakyat pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, beberapa perubahan dan penambahbaikan mungkin akan dilakukan untuk memberi impak yang lebih baik.