Perak tidak lagi wajib pemakaian pelitup muka di masjid, surau
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 4, 2022 19:19 MYT
Oktober 4, 2022 19:19 MYT
IPOH: Umat Islam di Perak kini tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka ketika berada di dalam masjid dan surau di seluruh negeri ini.
Sebaliknya, para jemaah diberikan pilihan sama ada mahu memakainya atau sebaliknya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, ketetapan itu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pada masa sama, katanya, ia juga selari dengan ketetapan terkini kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19.
“Walau bagaimanapun, individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas serta kanak-kanak digalakkan untuk memakai pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pengerusi masjid dan surau dapat memaklumkan perkara tersebut kepada ahli kariah masing-masing.