Perak tidak benarkan aktiviti ziarah kubur sempena Aidiladha

Abd Razak Mohd Ali
Julai 14, 2021 21:30 MYT
Laungan takbir Aidiladha hanya dibenarkan di masjid dan surau, termasuk surau di kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang. - Gambar hiasan
IPOH: Aktiviti ziarah kubur tidak dibenarkan di Perak sempena Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 20 Julai ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, laungan takbir dari rumah ke rumah juga tidak dibenarkan.
“Laungan takbir hanya dibenarkan di masjid dan surau, termasuk surau di kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial sepucuk surat kepada pihak pengurusan masjid dan surau diri Jumaat di Perak yang ditandatangani Mohd Yusop mengenai perkara tersebut.
Sehubungan itu, Mohd Yusop memohon kerjasama pihak pengurusan masjid dan surau untuk membuat hebahan perkara tersebut kepada ahli kariah masing-masing.
BACA: Sultan Nazrin perkenan pelaksanaan ibadah korban dalam tempoh PKP dengan syarat
Pada 24 Jun lalu, Mohd Yusop berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan pelaksanaan ibadah korban dan akikah sempena Aidiladha dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Antara SOP itu termasuk hanya boleh dilakukan di pusat sembelihan, pekarangan masjid atau surau serta premis yang dibenarkan Jabatan Perkidmatan Veterinar (JPV).
Pelaksanaan ibadah itu juga hanya dibenarkan di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilarang berbuat demikian.
#ziarah kubur #laungan takbir raya #Ibadah Korban #akikah #hari raya aidiladha #perintah kawalan pergerakan #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
;