Perak tarik pelabur swasta, tingkatkan eko-pelancongan

Bernama
Januari 7, 2020 04:57 MYT
Tan Kar Hing berkata langkah itu diambil bagi membolehkan model pelancongan di negeri ini dapat ditingkatkan selain mengatasi masalah beberapa kluster eko-pelancongan. - Facebook Tan Kar Hing
Kerajaan negeri Perak akan menarik lebih banyak pihak swasta untuk melabur dalam sektor eko-pelancongan di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.
Katanya langkah itu diambil bagi membolehkan model pelancongan di negeri ini dapat ditingkatkan selain mengatasi masalah beberapa kluster eko-pelancongan, yang masih tidak mempunyai infrastruktur asas yang sempurna.
"Kita juga masih menunggu 'master plan' eko-pelancongan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam tempoh terdekat sebelum menjalankan kajian pelan pelancongan di negeri ini," katanya pada sidang media selepas melawat Kawasan Pelancongan Kuala Gula di sini hari ini.
Mengenai lawatan kali pertamanya di Kuala Gula pada hari ini, beliau berkata pihaknya berhasrat untuk membangunkan infrastruktur pelancongan di kawasan itu, kerana mendapati kemudahan yang ada kurang memuaskan dan perlu dibaik pulih.
"Beberapa kemudahan juga perlu ditingkatkan di sini seperti kemudahan resort, jeti awam dan menara tinjau yang menjadi tarikan kepada pelancongan untuk datang ke sini," katanya.
Tan berkata kerajaan negeri melalui Tourism Perak memperuntukkan sejumlah RM250,000 untuk menaik taraf parkir dan kemudahan tandas awam di kawasan seluas 0.3 hektar di jeti pekan Kuala Sepetang, yang dijangka siap dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi.
-- BERNAMA
#eko-pelancongan #Kawasan Pelancongan Kuala Gula #Kerajaan Negeri Perak #MOTAC #pelancongan #Tan Kar Hing
;