Perak tanam lebih 1.3 juta pokok

Aida Aziz
Disember 18, 2020 13:23 MYT
Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, 18 Dis, 2020. - Gambar fail
IPOH: Kerajaan negeri telah menanam lebih 1.3 juta pokok di seluruh Perak dalam tempoh Januari sehingga November tahun ini.
Menurut Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad, usaha itu merupakan sebahagian projek yang dilaksanakan menerusi inisiatif ‘GreenPrint’ negeri.
“Dari Januari hingga November, lebih 1.3 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri melalui pelaksanaan beberapa program, antaranya Inisiatif Penanaman Pokok oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Program My Healthy Garden yang dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Kata Saarani, kerajaan negeri turut menggalakkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di peringkat awal.
Justeru, ujarnya, kerajaan negeri memperkenalkan pemberian RM500 kepada Kelab Alam Sekitar di sekolah dan RM3,000 kepada kelab yang sama di institut pengajian tinggi (IPT).
“Insentif ini bertujuan membolehkan setiap sekolah dan IPT yang terlibat merancang serta melaksanakan projek atau program bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, menyentuh tentang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Saarani berkata kerajaan negeri sedang memperhalusi Pelan Pembangunan Perindustrian Negeri Perak (P3) yang sedang dirangka melalui InvestPerak.
Katanya, pelan itu antara lain bertujuan menjadikan Perak sebagai salah satu lokasi pelaburan terbaik melalui penetapan strategi dan polisi yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi IR4.0.
“Di peringkat persekutuan pula, Dasar Industri Forward (4WRD) merupakan satu dasar negara untuk transformasi sektor pembuatan dan perkhidmatan bagi tempoh 2018 hingga 2025, yang menerapkan teknologi IR4.0,” tambahnya.
#pokok #DUN Perak #Perak #Saarani Mohamad #GreenPrint #P3 #alam sekitar #investperak #pelaburan #IR4 0 #perkembangan teknologi #Dasar Industri Forward
;