Perak tambah dana perubatan, bantu lebih ramai golongan memerlukan
Abd Razak Mohd Ali
Mac 29, 2022 11:45 MYT
Mac 29, 2022 11:45 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan meneruskan di samping menambah peruntukan tiga dana perubatan untuk membantu lebih ramai golongan yang menerlukan, khususnya ibu tunggal dan warga emas.
Tiga dana itu ialah Dana Perubatan Warga Emas (pembedahan kecil), Dana Perubatan Wanita (pembedahan tapak dialisis) dan Dana Perubatan Sinar (pembedahan katarak).
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, Dana Perubatan Warga Emas yang dijayakan dengan kerjasama sebuah hospital swasta, ditambah 100 peratus tahun ini, menjadikan jumlah peruntukan tahunan RM100,000.
“Pesakit boleh mendapatkan subsidi ini pada kadar maksimum RM5,000 sekiranya layak, mengikut kriteria yang telah ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh) di Dewan Negeri Perak, di sini, hari ini.
Sementara itu, katanya, Dana Perubatan Wanita yang diperkenalkan tahun lalu dengan kerjasama sebuah lagi hospital swasta, diteruskan dengan peruntukan sama RM100,000 tahun ini.
Menurut Dr Wan Norashikin, dana ini khusus bagi wanita B40 yang mengalami masalah fungsi ginjal yang kronik, dengan menampung kos subsidi rawatan maksimum RM3,000, mengikut kelayakan.
Dalam masa sama, ujarnya, Dana Perubatan Sinar yang diperkenalkan bulan lalu menyediakan peruntukan RM100,000 bagi membantu golongan B40 berumur 50 tahun ke atas, untuk mendapatkan rawatan penglihatan katarak di satu lagi hospital swasta.
Jelasnya, pesakit yang layak akan mendapat manfaat subsidi maksimum RM3,000 daripada kos keseluruhan pembedahan tersebut
“Berdasarkan sambutan yang baik daripada kalangan penerima, juga perkhidmatan yang cemerlang diberikan oleh hospital-hospital ini, kerajaan negeri bersetuju bekerjasama menjayakan ketiga-tiga dana perubatan ini,” ujarnya.
Menurut Dr Wan Norashikin, kerajaan negeri berharap, penganjuran program sebegini dapat membantu lebih ramai lagi rakyat Perak yang berpendapatan rendah dan memerlukan rawatan segera.