Perak siasat isu kerosakan Gua Matsoorat selepas penggambaran drama
Bernama
Mac 26, 2021 04:42 MYT
Mac 26, 2021 04:42 MYT
IPOH: Kerajaan Negeri Perak sedang menyiasat dakwaan fosil berusia jutaan tahun dan bahagian dinding di Gua Matsoorat di sini didakwa telah dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihaknya menerima aduan berhubung kerosakan di tapak bersejarah itu daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
"Untuk makluman, Majlis Bandaraya Ipoh telah memberikan kelulusan menjalankan penggambaran kepada Syarikat Juita Viden Sdn Bhd di sekitar Bandaraya Ipoh mulai 20 Feb lalu hingga 30 April ini.
"Hasil semakan, pihak syarikat produksi itu dimaklumkan bahawa mereka hanya boleh menjalankan penggambaran di tapak luar kawasan gua berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya terdapat kesan pencerobohan kerosakan pada fosil di dalam gua, namun pihak syarikat menafikan ia dilakukan oleh pihaknya sebagaimana yang didakwa oleh pihak operator.
Susulan itu, Nolee Ashilin berkata satu sesi perbincangan bersama pihak syarikat dan operator gua berkenaan telah diatur bagi mencari jalan penyelesaian.
Terdahulu, tular di laman sosial apabila pengguna Facebook mendedahkan terdapat kerosakan berkenaan selepas penggambaran sebuah drama popular selain mendakwa kru produksi membuang sampah merata-rata dengan perkongsian beberapa gambar menunjukkan kerosakan dan ukiran nama tajuk drama itu pada dinding gua.
Pengarah Michael Ang menerusi laman Instagramnya menyatakan kekesalan akan insiden itu dan memberitahu sedang mengesan individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.
-- BERNAMA
#Perak
#kerajaan negeri
#Siasat
#Gua Matsoorat
#Penggambaran
#rosak
#aduan
#NGO
#Nolee Ashilin Mohamed Radzi
#fosil
#dinding gua
#syarikat produksi
#drama
#Majlis Bandaraya Ipoh
#kerosakan
#pencerobohan
#Michael Ang
#sampah
#Juita Viden
#tapak bersejarah