Perak serius tangani isu kemiskinan haid, PROKiS sasar 2,000 penerima setiap daerah
Aida Aziz
Mac 30, 2022 13:08 MYT
Mac 30, 2022 13:08 MYT
IPOH: Perak serius dalam menangani isu kemiskinan haid dengan melaksanakan beberapa inisiatif seperti Program Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKiS) bagi golongan sasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, program tersebut yang dilancarkan baru-baru ini akan diteruskan ke seluruh daerah di Perak, dengan mensasarkan seramai 2,000 penerima.
"Antara kriteria penerima PROKiS ini adalah mereka di kalangan remaja perempuan dan wanita yang berumur antara 12 dan 45 tahun, yang tergolong kategori B40.
"Ia bukan hanya menumpukan kepada pemberian kit asas sanitari wanita, malah elemen advokasi dan aspek pendidikan akan diterapkan kepada penerima tentang pentingnya ilmu pengurusan haid," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab sesi soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini hari ini.
Menurut Dr Wan Norashikin, terdapat empat elemen utama dalam kemiskinan haid, iaitu: kekurangan atau ketiadaan kemudahan sanitari bagi menguruskan haid, kekurangan prasarana seperti akses kepada air bersih yang mencukupi, kekurangan ilmu dan pendidikan pengurusan haid serta kekurangan privasi dalam menguruskan haid.
Sementara itu, Jamilah Zakaria (BN-Trong) turut mengemukakan soalan tambahan berkenaan usaha kerajaan negeri dalam mengumpul data rasmi mengesan jumlah sebenar wanita yang terkesan oleh kemiskinan haid.
Dalam jawapan balasnya, Dr Wan Norashikin berkata, Sekretariat Wanita Perak kini dalam rangka menjalankan kajian kemiskinan haid di negeri ini menerusi sesi libat urus dan soal selidik dengan golongan sasaran.
"Kajian ini akan melibatkan golongan remaja dan wanita di seluruh Perak yang kita bahagikan kepada kumpulan sasar, contohnya masyarakat Orang Asli, miskin bandar dan luar bandar, ibu tunggal, profesional, gelandangan serta pelajar.
"Ia membabitkan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR), pakar akademik dan penyelidik berkenaan isu ini. Hasil daripada kajian ini akan digunapakai untuk bantu tingkatkan perkhidmatan untuk kurangkan isu kemiskinan haid," katanya lagi.
Dalam pada itu, Sandrea Ng Shy Ching (PKR-Teja) dalam soalan tambahannya bertanya mengenai perkembangan terkini cadangan menempatkan mesin layan diri sanitari di negeri ini, yang diuar-uarkan sebelum ini.
Datuk Dr Wan Norashikin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah berkata, perkara itu masih dalam rangka perbincangan dengan pihak yang berkenaan.
"Memang sekarang kerajaan negeri melalui Sekretariat Wanita Perak dan pejabat Exco sedang berbincang dengan pihak yang datang untuk menawarkan khidmat serta kepakaran.
"Insha-Allah akan diperhalusi dan sedang dalam proses. Kita harap ia dapat dilaksanakan, kalau tidak semua pun, mungkin di tempat kajian yang paling diperlukan," tambahnya.