Perak selesai 28,000 pemberian hak milik strata

Aida Aziz
April 25, 2018 07:39 MYT
Zambry berkata, berkata jumlah pemindahan hak milik strata akan bertambah sehingga kesemua 46,000 pemilik rumah bertingkat di Perak menerima hak milik strata masing-masing. - BERNAMA/Fail
Kerajaan Negeri Perak menyelesaikan pemberian hak milik strata kepada 28,000 pemilik rumah bertingkat seluruh negeri sejak dua tahun lepas.
Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa sehingga kesemua 46,000 pemilik rumah bertingkat di Perak menerima hak milik strata masing-masing.
Kerajaan negeri mula menyerahkan hak milik strata kepada pemilik sejak 2016 dengan memberi keutamaan kepada rumah yang dibina sejak 2007, dan secara berperingkat kepada rumah yang dibina selepas itu.
"Setakat ini, kita telah selesaikan 28,000 hak milik strata dan berjaya mengurangkannya secara drastik.
"Proses menjadi lama kerana pelbagai masalah timbul melibatkan hak milik seperti pemohon yang telah meninggal dunia, bagaimana hendak mewasiatkan pindah milik kepada keluarga mereka dan masalah pengurusan yang melibatkan bil air dan elektrik," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Penyampaian Hak Milik Strata Kepada Pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Daerah Manjung 2018 di Apartment Bukit Permata di sini, pada Rabu.
Pada majlis itu, Zambry menyerahkan hak milik strata kepada tujuh JMB dari enam pangsapuri yang melibatkan 1,171 unit rumah di kawasan sekitar Manjung.
#hak milik strata #manjung #pemilik rumah #Zambry Abdul Kadir
;