Perak sasar 40,000 hadir rumah terbuka Tahun Baru Cina 29 Jan ini
Bernama
Januari 17, 2023 17:20 MYT
Januari 17, 2023 17:20 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menganjurkan rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baharu Cina secara besar-besaran dengan sasaran kehadiran 40,000 tetamu di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) pada 29 Jan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata majlis yang bermula dari pukul 2 hingga 5 petang itu akan turut dihadiri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan exco kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan semua tetamu untuk hadir bersama-sama kerana kemasukan adalah percuma dan sentiasalah patuhi arahan penganjur.
"Lokasi ini dipilih kerana tahun ini merupakan Tahun Melawat Ipoh 2023, selain ia dapat mempergiatkan aktiviti pelancongan di Ipoh. LWOT merupakan salah satu ikon pelancongan di negeri ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loh berkata tetamu boleh turut serta memasuki taman tema itu bagi merasai sendiri aktiviti-aktiviti di LWOT secara percuma pada hari berkenaan.
-- BERNAMA