Perak rujukan terbaik bangun bandar warisan bijih timah di Ranong, Thailand
Aida Aziz
Januari 2, 2023 07:30 MYT
Januari 2, 2023 07:30 MYT
Kehadiran pengkaji dan delegasi dari Thailand dalam meneroka warisan dan sejarah bijih timah di negara ini, lebih tepat lagi di Perak, membuka dimensi jaringan kerjasama lebih luas antara dua negara.
Perak menerima kunjungan kira-kira 20 tetamu dari Thailand baru-baru ini, yang merupakan sebahagian misi Jejak Warisan Bijih Timah antara Thailand dan Malaysia.
Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak Nor Hisham Zulkiflee, rombongan yang diketuai Prof Rungsima Kullapat itu bertujuan melawat warisan tinggalan industri bijih timah dan melihat kesannya kepada penduduk setempat.
Pada masa yang sama, katanya, ia bagi dijadikan rujukan dan contoh dalam usaha negara itu membangunkan bandar warisan bijih timah di Ranong, yang terletak di Selatan Thailand.
"Umum sedia maklum bahawa Perak antara negeri yang kaya dengan sumber bijih timah suatu ketika dahulu, malah pernah mendapat julukan bandar jutawan.
"Terdapat beberapa daerah di negeri ini yang kaya dengan sumber itu, seperti Ipoh yang memang banyak terdapat jejak warisan berkaitan sumber itu. Selain itu, Taiping dan Kampar juga tidak terkecuali.
"Rombongan tersebut dibawa ke Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5), Muzium Perlombongan Kampar, Pekan Lama Ipoh dan Pekan Tinggal Kampung Kepayang.
"Kunjungan membabitkan Kampar, Gopeng, Tanjung Tualang, Ipoh dan Taiping. Malah, sebelum ini Rungsima sudah hadir beberapa kali ke Perak dan negeri lain, sebelum membawa rombongan itu," katanya.
Ditanya mengenai maklum balas daripada kunjungan itu, Nor Hisham berkata, mereka berpuas hati dan tertarik dengan koleksi warisan sejarah yang masih tersimpan rapi di negeri ini.
Di samping itu, katanya, keunikan sejarah bijih timah di Lembah Kinta khususnya dapat memberi gambaran terbaik untuk mereka garapkan idea di bandar warisan itu nanti.
"Lawatan ini saya dapat simpulkan sebagai perkongsian ilmu dan pengalaman, sebab mereka melihat warisan bijih timah di sini mampu menarik ramai pelancong luar.
"Rombongan dari Thailand itu terdiri daripada penggerak industri pelancongan, pihak muzium, pensyarah akademik serta pelajar.
"Mereka tertarik kerana ada kisah yang menjadi produk pelancongan di sini, lebih-lebih lagi apabila baru-baru ini Ipoh diiktiraf di tangga pertama di Asia, tempat menarik paling kurang dinilai oleh CNN Travel.
"Dalam lawatan itu, mereka bukan sahaja melihat warisan industri bijih timah, tetapi juga sosioekonomi kesan daripada sumber itu kepada masyarakat setempat," katanya.
Beliau menambah, lawatan selama lima hari di Malaysia itu turut merangkumi negeri lain seperti Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, rombongan itu turut berharap supaya wakil dari Malaysia amnya dan Perak khususnya dapat melihat keunikan di Thailand pula.
"InsyaAllah dalam perancangan, mereka juga cuba jadikan jaringan ini satu langkah untuk bawa warisan perlombongan bijih timah ke taraf UNESCO, yang merangkumi Thailand, Malaysia dan juga Indonesia.
"Dari sudut warisan dan sejarah sumber ini, Thailand dan Malaysia lebih kurang sama.
"Mereka ada kapal korek, malah lebih awal daripada kita (Malaysia). Tetapi tinggalan itu (kapal korek) sudah tiada, sementara kita masih ada di TT5," katanya.