Perak rancang guna pagar elektrik, penggera amaran, elak konflik gajah-manusia

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 19, 2022 12:50 MYT
Mohd Akmal (tengah) merasmikan program CFS Showcase bersama pemegang taruh peringkat negeri Perak, di Ipoh, semalam. - Foto Astro AWANI
IPOH: Kerajaan Negeri Perak mempertimbangkan penggunaan pagar elektrik dan penggera amaran di perkampungan Orang Asli untuk menyelesaikan konflik antara gajah dan penduduk setempat.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, antara cadangan itu ialah membina 14 kilometer (km) pagar elektrik di sekeliling kampung Orang Asli di Pos Kemar, Gerik yang menelan belanja hampir RM1 juta.
Menurutnya, buat masa ini, Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) telah dipasang di kawasan Sekolah Kebangsaan RPS oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Bagaimanapun, isunya sekarang ialah penyelenggaraan. Siapa yang akan melakukannya? Apabila ada masalah, ia tidak akan berfungsi, itu yang masih kita bincangkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Central Forest Spine (CFS) Showcase bersama pemegang taruh peringkat negeri Perak, di sini, pada Khamis.
Pada masa sama, kata Mohd Akmal, beliau akan ke Johor untuk melihat sistem penggera amaran yang digunakan di kampung Orang Asli.
“Penggera itu berbunyi berbeza-beza. Lagi 1km gajah hendak sampai ke kampung tersebut, penggera akan berbunyi, menyebabkan gajah akan pergi ke tempat lain,” ujarnya.
Tambahnya, beliau juga akan ke Thailand untuk melihat cara yang digunakan di negara itu bagi mengurangkan konflik dengan gajah.
“Di Thailand ada pasar raya gajah yang menyediakan pelbagai sumber makanan gajah seperti ubi kayu, pisang dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memindahkan gajah bukan penyelesaian masalah konflik antara haiwan itu dan manusia.
Awal bulan ini, seorang wanita Orang Asli patah tangan dan kaki dipercayai akibat diserang seekor gajah liar di Kampung Katong Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar di Gerik.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata, mangsa mengalami patah tangan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut akibat diserang haiwan itu di belakang rumahnya.
#Mohd Akmal Kamarudin #pagar elektrik #gajah #penggera amaran
;