Perak pertimbang wujud galeri khas khazanah seni negeri
Aida Aziz
Februari 5, 2022 05:34 MYT
Februari 5, 2022 05:34 MYT
IPOH: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan untuk menempatkan karya seni bertemakan Perak Man Art Trail (PMAT) dan Pameran Solo Salleh Ismail di sebuah galeri khas di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, karya yang mengetengahkan kawasan di Lembah Lenggong khususnya dan Perak amnya itu, dapat dijadikan khazanah berharga untuk negeri ini.
"Kita ada galeri di belakang Dewan Bandaraya Ipoh (DBI). Saya hendak lihat semula, sebab sebelum ini kita ada satu kolaborasi dengan Pihak Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
"Mereka telah membangunkan semula Ipoh Padang dan Perpustakaan Tun Razak - itu di kawasan berhampiran.
"Jadi, kalau NCIA boleh bersama-sama menjadikan galeri itu untuk tempatkan segala khazanah ini (karya seni), itu bagus dan kita akan buat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Visual PMAT dan Pameran Solo Salleh Ismail di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pelukis Perak (PPPk) Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim, Salleh dan para pelukis yang terbabit dalam PMAT.
Saarani menambah, terjemahan lokasi bersejarah dalam bentuk karya seni itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Perak.
Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi akan berbincang secara lanjut supaya hasil karya tersebut dapat disimpan sebagai khazanah negeri untuk tatapan generasi akan datang.
"Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada setiap agensi yang bekerjasama termasuk Tourism Perak, Balai Seni Negara dan Lembaga Muzium Negeri Perak.
"Perak Man seperti mana yang kita maklum adalah khazanah penting negara.
"Keistimewaan Perak Man yang meletakkan Lembah Lenggong dalam peta arkeologi dunia ini hendaklah kita syukuri dengan melipat-gandakan usaha menarik lebih ramai pelancong ke sana," katanya.
Pameran PMAT 2021 mengumpulkan seramai 30 orang pelukis tempatan dan juga dari Kuala Lumpur.
Antara nama-nama yang terbabit ialah A Malik Zainal Abidin, Roslinda Wahab, Aris Aziz, Rosli Ngah, Hadi M Amin, Amin Busu, Lyna Khairi, Raduan Norudin, Oh Chow Moy dan Raja Shahriman.
Pameran Solo Salleh Ismail pula menceritakan anak kelahiran Lenggong, Salleh dan perjalanan hampir setengah dekadnya dalam bidang seni, seterusnya dipersembahkan dalam 50 karya lukisan.