Perak pertimbang cadangan kenakan caj jalan raya

Astro Awani
April 30, 2017 13:18 MYT
Zambry berkata kerajaan negeri sedia mempertimbang cadangan awal itu dan dalam masa yang sama memberi imbalan yang baik kepada negeri terbabit. -Gambar fail
Perak akan mempertimbangkan cadangan mengenakan caj jalan raya (RC) bagi kenderaan dari Thailand yang memasuki negara ini melalui Pengkalan Hulu.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkaitan, khususnya Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri.
Kadar RC yang dicadangkan ialah sebanyak RM20, dengan RM5 daripadanya akan diserahkan kepada negeri terlibat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri sedia mempertimbang cadangan awal itu dan dalam masa yang sama memberi imbalan yang baik kepada negeri terbabit.
“Kalau sekiranya ia dapat memberikan kebaikan kepada negeri khususnya melibatkan kenderaan dari luar datang ke Malaysia, itu merupakan satu cadangan yang boleh kita pertimbangkan.
“Paling penting ialah negeri terlibat hendaklah juga diberikan imbalan yang baik,” kata Zambry.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Rumah Terbuka Vasaikhi Tahun 2017 peringkat negeri Perak di Padang Astaka, Kampar pada Ahad.
Perak adalah antara negeri yang mempunyai pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand selain negeri Perlis, Kedah dan Kelantan.
#caj jalan #Kedah #Liow Tiong Lai #Perlis #RC #Road Charge #Thailand #Zambry Abd Kadir