Perak perkenal tiga kadar zakat fitrah
Abd Razak Mohd Ali
Mei 3, 2019 19:43 MYT
Mei 3, 2019 19:43 MYT
Perak memperkenalkan tiga pilihan kadar bayaran zakat fitrah bagi tahun 2019 iaitu RM7, RM14 dan RM21.
Ketetapan itu dibuat selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memperakui pandangan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak ke-216 pada 16 Januari lalu.
Namun kadar minimum yang perlu dibayar setiap individu berkewajipan mengeluarkan zakat fitrah sebanyak RM7.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Haidi Sulaiman berkata, pembayar zakat fitrah digalakkan membayar melebihi kadar tersebut mengikut beras yang dimakan atas dasar 'tatawwu'.
Menurutnya, kadar bayaran RM14 bagi pembayar yang menggunakan beras wangi, beras putih import, beras perang, beras pulut, herba poni dan seumpamanya,.
"Manakala RM21 bagi pembayar menggunakan beras basmathi, beras Jepun, beras merah dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Haidi berkata, MAIPk telah melantik seramai 1,897 amil di seluruh Perak bagi memudahkan orang ramai membayar zakat.
Katanya, amil-amil tersebut akan bertugas di semua masjid dan surau di negeri ini.
Selain itu, ujarnya, kaunter sementara dan kaunter bergerak juga akan dibuka di beberapa tempat tumpuan orang ramai sepanjang Ramadan.
#basmathi
#beras
#beras Jepun
#beras merah
#beras perang
#beras pulut
#beras putih import
#beras wangi
#herba poni
#MAIPk
#tatawwu
#zakat fitrah