Perak perkenal skim mikro kredit tanpa faedah, bantu peniaga terkesan COVID-19
Abd Razak Mohd Ali
September 24, 2021 23:49 MYT
September 24, 2021 23:49 MYT
LENGGONG: Perak akan memperkenalkan skim mikro kredit tanpa faedah, khusus bagi membantu peniaga kecil yang terkesan dengan COVID-19.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, setakat ini, kerajaan negeri berjaya mengumpulkan RM3 juta sebagai dana permulaan.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengumpul tambahan dana sebelum skim itu dimulakan awal tahun hadapan.
“Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengumpul dana dan kita nak memperhalusi kaedah itu supaya pertama orang yang dapat itu orang yang betul-betul memerlukannya dan tidak akan disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain.
“Yang penting nak kena ingat, janganlah satu orang memohon lebih daripada satu dana.
“Kalau dia dah dapat contohnya dia dah dapat wang yang secukupnya daripada kerajaan Pusat, daripada SME, janganlah dia juga nak ambil yang daripada kerajaan negeri, yang negeri ini berilah kepada orang lain yang belum dapat,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian bantuan one-off kepada penjaja kecil dan bantuan kotak makanan di Dewan Serbaguna Kota Tampan, di sini, hari ini.
Menurut Saarani, kerajaan negeri menyedari bantuan one-off yang diberikan kerajaan negeri dan persekutuan masih belum mencukupi untuk mereka memulakan semula perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri tidak mampu untuk memberi lebih banyak bantuan kerana bilangan peniaga kecil di Perak terlalu ramai.