Perak perhalusi cadangan letak mesin layan diri tuala wanita di sekolah rendah- Exco

Aida Aziz
Februari 9, 2023 17:25 MYT
Salbiah (duduk, kiri) berkata, keperluan untuk disediakan tuala wanita lebih tertumpu di sekolah rendah, di mana pendedahan tentang perkara itu masih belum meluas. - Foto Astro AWANI
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memperhalusi cadangan untuk meletakkan mesin layan diri tuala wanita di kawasan strategik, khususnya di sekolah rendah bagi membasmi isu kemiskinan haid secara tuntas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, keperluan untuk disediakan tuala wanita lebih tertumpu di sekolah rendah, dimana pendedahan tentang perkara itu masih belum meluas.
"Kalau dulu proses datang haid ini di usia melangkah masuk ke sekolah menengah dan kita tidak begitu beri tumpuan kepada pelajar di sekolah rendah.
"Tetapi rata-rata maklum balas yang saya terima daripada pelajar, mereka sudah datang haid sejak sekolah rendah.
"Sebab itu kita sekiranya ada keperluan, kita boleh fikirkan untuk wujudkan (mesin layan diri tuala wanita) di sekolah rendah, seperti mana yang dicadangkan Exco sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Pembasmian Kemiskinan Haid: Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKIS) di SMK Raja Chulan, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria dan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 150 pelajar hari ini menerima bantuan sekali beri kit sanitari termasuk tuala wanita yang boleh diguna pakai semula (boleh dibasuh) sehingga empat tahun.
Katanya lagi, PROKIS akan diperluas di 12 daerah di Perak, di mana SMK Raja Chulan menjadi lokasi pertama penganjuran.
"Bagi tahun 2023, PROKIS akan menumpukan penerima dari kalangan pelajar yang layak di Perak melalui kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak," katanya.
Ketika ditanya jika ada perancangan untuk memberikan tuala wanita secara percuma kepada pelajar B40 setiap bulan, Salbiah berkata perkara itu masih belum diputuskan.
"Setakat ini belum (bagi percuma setiap bulan), kita akan melihat kepada keputusan responden yang diberikan nanti, bergantung kepada data dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, mesin layan diri itu turut dicadang untuk ditempatkan di lokasi awam seperti kawasan rekreasi dan sekolah.
Sementara itu, bagi pelajar sekolah, Nur Aqilah Nasuha Muhamad Rizuan Shah, 14, dia dan rakan-rakan menyambut baik cadangan berkenaan, yang memudahkan pelajar mendapatkan tuala wanita.
"Saya setuju sebab memudahkan kami dapatkan tuala wanita, memang boleh minta dengan kawan-kawan atau cikgu tetapi mungkin ada kekangan masa dan sebagainya.
"Kalau tiba-tiba datang haid di sekolah, mungkin kawan-kawan dan cikgu tidak bawa (tuala wanita), kalau ada mesin layan diri lebih senang," katanya.
Pendapat sama diberikan oleh Nur Ainul Najwa Md Badrul Hisyam,14, yang berasakan perkara itu satu keperluan untuk pelajar.
"Saya sokong sebab lebih mudah, kadang-kadang kita faham kawan-kawan pun bawa tuala wanita untuk diri sendiri dan tiada lebih nak bagi," katanya.
#mesin layan diri #tuala wanita #exco Perak #Salbiah Mohamed
;