Perak percepat proses bina menara telekomunikasi, beri liputan lebih baik
Abd Razak Mohd Ali
Februari 20, 2023 12:51 MYT
Februari 20, 2023 12:51 MYT
IPOH: Pembinaan 105 menara telekomunikasi di seluruh negeri Perak akan dipercepatkan tahun ini, untuk memberi liputan yang lebih baik.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Moha Azlan Helmi berkata, dalam pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital baru-baru ini, antara perkara yang ditekankan ialah kelewatan pembinaan menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara 1 (Jendela 1).
Menurutnya, terdapat sedikit permasalahan mengenai kekangan dari permulaan sehingga siap, yang mengambil masa terlalu panjang.
“Ada juga keadaan-keadaan seperti status tanah sehingga menyebabkan menara ini lewat, sebab itu kita turun padang hendak melihat permasalah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan siri jelajah Perak Sejahtera 2030 di bawah portfolio beliau di Kompleks Jabatan Penyiaran Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan cuba mengurangkan masalah tersebut, seperti membantu dari segi dokumentasi yang memerlukan kerjasama erat dengan semua pihak.
Mohd Azlan berkata, beliau sendiri akan turun padang ke kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri untuk mengenal pasti liputan dan capaian internet yang sering dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat.
Selain itu, tambahnya, pihaknya juga akan melihat keadaan semua Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang dikelolakan Jabatan Penerangan, bagi memperkuatkan lagi fungsinya.
“Ia juga bagi membolehkan pusat ini memainkan berperanan lebih besar untuk masyarakat,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pihaknya merancang untuk program jelajah itu setiap hari Isnin.
“Jelajah ini akan bergantung kepada input yang kita peroleh di setiap kawasan yang dilawati mungkin kita akan tambah baik pada edisi jelajah yang lain sehingga tamat 59 DUN,” ujarnya.
Menurutnya, setakat ini terdapat 71 buah PEDi di Perak dan pihaknya akan melihat kekurangan dan keperluan setiap daripadanya.