Perak pengeluar terbesar arowana pada 2022 - Jabatan Perikanan

Bernama
Jun 10, 2023 05:14 MYT
Nilai dagangan ikan hiasan seluruh negara mencatatkan RM370 juta hasil pengeluaran 245 juta ekor ikan hiasan. - Gambar hiasan/Facebook Jabatan Perikanan Malaysia
IPOH: Perak merupakan penyumbang terbesar kepada industri ikan hiasan arowana atau kelisa negara apabila merekodkan pengeluaran sebanyak 1,108,450 ekor ikan berkenaan tahun lepas.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata jumlah berkenaan adalah sebahagian besar daripada pengeluaran sebanyak 1,172,544 ekor arowana negara pada 2022.
"Nilai dagangan bagi arowana pada 2022 mencatatkan RM87 juta secara keseluruhan dan Perak telah menyumbang sebanyak 72 peratus nilai dagangan itu," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata negeri lain yang turut menyumbang adalah Johor dengan 66,367 ekor, Selangor (21,200), Pulau Pinang (19,137), Melaka (2,096) dan Negeri Sembilan (1,565).
Katanya setakat ini, sebanyak 96 ladang arowana telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan yang beroperasi di Bukit Merah dengan keseluruhan ladang berkeluasan 145 hektar.
Sementara itu, Adnan berkata nilai dagangan ikan hiasan seluruh negara mencatatkan RM370 juta hasil pengeluaran 245 juta ekor ikan hiasan.
"Perak telah mengeluarkan kira-kira 63 juta ekor ikan hiasan yang menyumbang kepada nilai dagangan sebanyak RM92 juta dan pasaran utama eksport lebih 50 peratus ikan kelisa negara kita adalah China.
"Ikan hiasan ini juga turut dieksport ke Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka, Ireland, Vietnam dan Thailand manakala jenis ikan yang dieksport adalah jenis Malaysia Gold, Highback, Nami, Silver dan Super Red," katanya.
Menurut Adnan Jabatan Perikanan telah mewujudkan satu Pelan Strategik Pengurusan Perikanan Darat 2021-2025 sebagai panduan untuk pelaksanaan pengurusan perikanan darat di Malaysia termasuklah kawasan santuari.
"Terdapat 13 santuari telah ditubuhkan khusus untuk spesies ikan asli yang terdapat di Malaysia termasuk santuari ikan kelisa diwujudkan bagi tujuan konservasi dan agropelancongan.
"Berdasarkan rekod, terdapat 10 santuari yang berstatus aktif dan tiga lagi dalam proses pembangunan semula dan pembaikan struktur. Santuari yang aktif adalah tiga di Pahang, dua di Perak manakala Perlis, Selangor, Johor, Terengganu dan Kelantan masing-masing satu," katanya.
-- BERNAMA
#Perak #ikan arowana #jabatan perikanan #industri ikan hiasan
;