Perak pandang serius jemaah wanita berpakaian ihram - Menteri Besar

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 16, 2022 14:49 MYT
Kerajaan Perak memandang serius kejadian seorang wanita yang didakwa berpakaian ihram lengkap seperti lelaki di tanah suci Mekah yang tular baru-baru ini.
IPOH: Kerajaan Perak memandang serius kejadian seorang wanita yang didakwa berpakaian ihram lengkap seperti lelaki di tanah suci Mekah yang tular baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah asas dalam ibadah.
“Sesiapapun laki-laki ataupun perempuan bila kita nak melakukan ibadah di Tanah Suci, ikut syarak. Jadi semua orang, sepatutnya sebelum melakukan ibadah itu (umrah), dia kena menahami, memahami peraturan, rukun, baru dia boleh pergi, jadi ikut syarak lah, patuhi syarak, ini tempat beribadat,” kata beliau.
Saarani berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, pada Selasa.
Pada Isnin, Persatuan Pengendali Umrah, Haji Dan Ziarah Perak (Puhaz) mengesahkan tidak terlibat dalam mengendalikan urusan umrah wanita berkenaan.
Setiausaha Agungnya, Abdul Jabbar Abdul Kahar menjelaskan hasil maklumat awal, tiada mana-mana antara 35 syarikat pelancongan dan umrah di bawah persatuan itu terlibat urusan wanita yang didakwa beralamat di Bota, Perak.
Minggu lalu tular di Twitter beberapa hantaran berkenaan seorang wanita berkenaan susulan videonya berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.
Dalam satu hantaran video pendek menunjukkan wanita terbabit menuju ke Raudah.
#wanita pakai ihram #Tanah Suci #umrah #Menteri Besar Perak
;