Perak negeri tertinggi terima dana SejaTi MADANI

Bernama
Julai 28, 2024 21:30 MYT
Muhammad Kamil berkata inisiatif yang diwujudkan itu merupakan peluang keemasan dan seharusnya direbut oleh semua JPKK untuk meningkatkan produktiviti selain menjana pendapatan sampingan. - Gambar fail
IPOH: Sebanyak 724 daripada 2,818 permohonan dengan peruntukan RM57.6 juta telah diluluskan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh negara di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) setakat ini.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata daripada jumlah itu Perak merupakan negeri yang menerima geran tertinggi iaitu melibatkan 113 pemohonan dengan peruntukan RM10.1 juta.
"Berdasarkan pemerhatian kita banyak JPKK yang masih menanti giliran untuk dipanggil ke temu duga supaya mereka boleh laksanakan projek di bawah inisiatif ini secepat mungkin sekali gus mewujudkan ekosistem baru di kawasan mereka.
"Semua JPKK boleh mohon daripada RM50,000 hingga RM100,000 cuma pemberian tersebut berbeza berdasarkan kekuatan cadangan sesuatu projek yang ingin dilaksanakan," katanya ketika ditemui Bernama pada Program Ziarah Kasih MADANI Parlimen Tambun di sini semalam.
SejaTi MADANI yang dilancarkan pada 25 Mac lepas merupakan satu bentuk program bantuan kerajaan yang bertujuan mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.
Lima sektor menjadi tumpuan dalam program SejaTi MADANI iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Muhammad Kamil berkata inisiatif yang diwujudkan itu merupakan peluang keemasan dan seharusnya direbut oleh semua JPKK untuk meningkatkan produktiviti selain menjana pendapatan sampingan kepada penerima.
"Ini penting untuk kita pastikan bahawa setiap JPKK yang ada dalam negara ini dapat berdiri atas kaki sendiri atau bersifat mandiri," katanya.
Sementara itu, sebanyak RM5,000 disumbangkan Jabatan Perdana Menteri kepada lima penerima dalam kalangan B40 di beberapa lokasi sekitar Chemor hari ini.
Muhammad Kamil berkata sumbangan itu disalurkan sebagai bantuan meringankan beban kos sara hidup penerima.
-- BERNAMA
#Perak #SejaTi Madani #geran tertinggi #Muhammad Kamil Abdul Munim