Perak mohon polis tidak saman kenderaan parkir di luar HRPB
Aida Aziz
Mac 16, 2023 16:57 MYT
Mac 16, 2023 16:57 MYT
IPOH: Kerajaan negeri akan berbincang dengan polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memohon pertimbangan supaya tidak mengeluarkan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A Sivanesan berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Perak minggu depan bagi menyelesaikan isu yang tidak berkesudahan itu.
"Minggu depan saya akan jumpa dengan Ketua Polis Perak dan akan bincang supaya pihak polis tidak menyaman orang ramai yang meletak kenderaan di tepi jalan dekat hospital pada waktu tertentu.
"Khasnya jam 8 hingga 12 tengah hari dan petang, lebih-lebih lagi pada waktu melawat. Kita juga akan adakan mesyuarat dengan MBI dan minta cadangan mereka untuk uruskan hal tersebut.
"Sekarang aduan yang kita terima memang parkir tidak mencukupi, itu kita akui, sekurang-kurangnya bila perbincangan itu dilakukan, orang ramai lega sedikit tidak disaman," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas berhubung isu tersebut di Klinik Kesihatan Greentown, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai penutupan kawasan parkir perkhidmatan van shuttle berhadapan klinik berkenaan, Sivanesan berkata ia dilakukan bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan kawasan parkir baharu yang lebih sistematik.
"Kawasan parkir akan disediakan di situ dengan kapasiti 240 petak, ia dijangka siap pada 15 Mei tahun ini.
"Sebelum ini, pelawat hospital memang ada yang parkir di situ namun untuk sementara waktu ia ditutup dan dipindahkan bersebelahan Veldrom Rakyat Kompleks Sukan Ipoh mulai 13 Mac lalu," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan rungutan dan keluhan orang ramai berhubung isu parkir yang tidak berkesudahan, selain mereka sering disaman kerana meletakkan kenderaan di tepi jalan dekat hospital.