Perak mohon peruntukan khas RM800,000 baik pulih dua ban pecah
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 21, 2021 23:00 MYT
Ogos 21, 2021 23:00 MYT
BAGAN SERAI: Kerajaan negeri Perak memohon peruntukan khas RM800,000 daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membaik pulih ban di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Kerian yang pecah pagi Jumaat.
Peruntukan segera itu bagi kerja-kerja baik pulih dua lokasi ban di Kampung Selekoh dan Kampung Parit Haji Kasim yang pecah, masing-masing sepanjang 10 dan 30 meter.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kejadian itu menyebabkan kira-kira 400 rumah di lima buah kampung berhampiran dilanda banjir.
“Peringkat awal ini telah dibina cerucuk untuk menyekat air mengalir ke kawasan yang berkaitan dan di samping itu kita akan menyegerakan pembinaan ban itu.
“Jadi, insya-Allah dari segi kerajaan negeri akan bersama-sama dengan JPS untuk mengambil tindakan segera untuk membendung keadaan yang telah berlaku ini (agar) dapat disekat dan kita akan dapat mengelakkan daripada banjir berterusan berlaku di kawasan yang berkaitan,” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, pada Sabtu.
Menurutnya, kerja menanam cerucuk di lokasi ban yang runtuh bermula Sabtu dan dijangka siap dalam masa dua tiga hari.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, susulan kejadian itu, terdapat antara lima atau enam kampung yang sudah dinaiki air.
“Pada tinjauan saya pagi tadi, ramai antara 30 hingga 40 rumah sudah pun meninggalkan rumah masing-masing tetapi mereka ada tempat sama ada bertandang ke rumah keluarga ataupun yang menyewa homestay.
“Walau bagaimanapun saya minta pentadbiran daerah dan penghulu mukim untuk memastikan mereka ini mendaftar juga di pusat PPS ini untuk pemantauan kita dari segi bantuan dan sebagainya,” jelas beliau.
Setakat ini, PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu menempatkan 29 mangsa dari 11 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak menempatkan 61 mangsa dari 15 keluarga.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati Henti Sebelah (Layby) Alor Pongsu di kedua-dua arah juga ditutup kerana dinaiki air.
#banjir
#peruntukan khas
#ban pecah
#Rancangan Tebatan Banjir Kerian
#Sungai Sama Gajah
#Zolkafly Harun
#Alor Pongsu