Perak, Melaka turut beri amaran tutup bazar Ramadan tak patuh SOP

Abd Razak Mohd Ali, Shuhada Abdul Kadir
April 15, 2021 22:36 MYT
Kerajaan negeri Perak dan Melaka antara yang terkini memberi amaran akan mengarahkan bazar Ramadan tidak mematuhi SOP ditutup. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Perak dan Melaka antara yang terkini memberi amaran akan mengarahkan bazar Ramadan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditutup.
Di PERAK, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata berdasarkan pemantauan sejak dua hari lalu, kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar.
Bagaimanapun, katanya setakat ini, pihak berkuasa masih menggunakan pendekatan memberi peringatan dan amaran terlebih dahulu.
"Sebenarnya pengendalian di pintu masuk semuanya ada, cuma apabila mereka masuk ke dalam kawasan bazar, kita mendapat aduan bahawa ramai yang tidak mematuhi SOP.
"Kita tidak mahu angka (kes COVID-19) kita naik disebabkan kluster-kluster yang datang daripada bazar Ramadan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Komuniti PPR, Pangsapuri Seri Kepayang di Ipoh pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau yakin keputusan kerajaan menurunkan kuasa untuk mengeluarkan kompaun kepada pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Gred 19 mulai Rabu, akan membantu memperbaiki pematuhan SOP di bazar Ramadan.
Di MELAKA, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, turut memberi amaran akan membatalkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri sekiranya penganjur gagal mematuhi SOP ditetapkan.
Beliau berkata, SOP perlu diberi perhatian serius dan diperketatkan bagi memastikan tiada penularan kes pandemik COVID-19, seterusnya peniaga dapat menjana pendapatan dalam norma baharu.
Susulan amaran itu, tinjauan Astro AWANI di sekitar beberapa bazar Ramadan di negeri itu mendapati kebanyakan penganjur, peniaga dan pengunjung mematuhi SOP.
Pengelola Bazar Ramadan Paya Ikan, Naim Zainal ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa memantau pematuhan SOP bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19.
"Penutupan operasi bazar Ramadan akan lebih merugikan peniaga yang akan hilang punca pendapatan. Justeru, kita beri tumpuan kepada pematuhan SOP.
"Setiap peniaga diwajibkan mengikut arahan yang ditetapkan kerajaan negeri Melaka seperti memasang bidai kiri dan kanan, selain di hadapan mesti ada tali penghadang pelanggan," katanya.
#Perak #Melaka #Bazar Ramadan #tutup #patuh SOP #arahan tutup #COVID-19 #penularan
;