Perak lebihi sasaran bina 50,000 rumah mampu milik menjelang 2025

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 31, 2022 14:57 MYT
Nolee Ashilin Mohammed Radzi (tengah) menyerahkan replika kunci kepada seorang pembeli. Turut serta Felina Mustapha Kamal (kiri), Ketua Pegawai Operasi MB Inc, Nor Afzanizam Abd Manan (dua dari kanan) dan Faris Yahaya (kanan). - Gambar Astro AWANI
GOPENG: Kerajaan Negeri Perak berjaya melebihi sasaran untuk membina 50,000 unit rumah mampu milik, termasuk 15,000 rumah kos rendah, menjelang akhir tahun 2025.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, setakat ini, terdapat lebih 53,000 unit rumah dalam pelbagai peringkat akan, sedang dan telah dibina.
Menurut beliau, daripada jumlah itu Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan menyediakan 15,000 unit rumah kos rendah.
“Ini tidak termasuk rumah-rumah yang perlu dibina untuk pihak swasta. Jadi untuk kami (LPHP) sahaja, kita telah tetapkan itu sebagai penanda aras kami untuk tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci 137 unit rumah teres dua tingkat kos rendah (Rumah PerakKu I) dan pelancaran rumah teres kos sederhana (Rumah PerakKu II) di Tapak Projek Raia Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Felina Mustapha Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan.
Menurut Nolee Ashilin, mengikuti dasar yang diamalkan di Perak, semua projek perumahan lebih daripada lapan hektar (20 ekar), pemaju mesti membina 10 peratus rumah murah, 20 peratus kos sederhana, 20 peratus rumah mampu milik (bawah RM240,000).
“Insya-Allah kita akan perkenalkan satu dasar baharu yang bakal berkuatkuasa 1 Januari depan untuk melindungi kouta rumah kos rendah,” ujarnya.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh atau lapan syarikat swasta yang bekerjasama dengan LPHP untuk menjayakan program Rumah PerakKu.
Sementara itu, Felina berkata, walaupun terkesan dengan pandemik COVID-19 lebih dua tahun, MK Land Holdings berjaya menyiapkan rumah yang dijanjikan dalam masa yang ditetapkan.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk pembeli, bank, kontraktor dan agensi kerajaan,” tambah Felina.
#Kerajaan Perak #rumah mampu milik #Nolee Ashilin Mohammed Radzi #MK Land Holdings Berhad
;