Perak lancar sistem lampu isyarat pintar dilengkapi AI
Aida Aziz
Jun 28, 2022 19:28 MYT
Jun 28, 2022 19:28 MYT
IPOH: Perak melancarkan sistem lampu isyarat pintar (STARS) pertama di negeri ini, yang dilengkapi keupayaan kecerdasan buatan (AI) di Bandaraya Ipoh.
STARS dilengkapi kamera AI berdefinisi tinggi dan analitik video, membolehkan analisis trafik secara pintar berlaku untuk memastikan kelancaran trafik yang optimum.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, buat permulaan teknologi itu ditempatkan di empat lokasi di Ipoh, sebelum diperluas ke daerah lain secara berperingkat.
Beliau berkata, STARS direalisasikan menerusi jalinan kerjasama dan Perjanjian Langganan Perkhidmatan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Telekom Malaysia Berhad (TM)
"Pada peringkat permulaan STARS ditempatkan di empat lokasi sejak November tahun lalu.
"MBI bersama dengan TM melaksanakan tempoh percubaan bagi STARS di empat persimpangan sepanjang Jalan Sultan Idris Shah di sini.
"Bagi peringkat awal sebanyak empat persimpangan dipasang dengan sistem lampu isyarat pintar berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Ipoh Integrated Operation Centre (IIOC) & 5G di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Perak di sini pada Selasa.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Naib Presiden Jualan mewakili TM One, Mohamed Faisal Naina Mohamed.
Empat lokasi dipasang STARS adalah persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Laksamana; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Datuk Onn Jaafar; persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Musa Aziz; dan persimpangan Jalan Sultan Idris Shah dan Jalan Raja Ekram.
Khairul Shahril berkata, pemasangan STARS juga secara tidak langsung memberi kesan besar mengurangkan kadar pengeluaran karbon.
Sementara itu, Rumaizi berkata, STARS akan membantu melancarkan aliran trafik sehingga 51 peratus terutama pada waktu puncak, sekali gus menjimatkan masa dan kos pengguna jalan raya.
"Pelaksanaan itu selaras dengan hasrat MBI menjadikan Ipoh sebuah bandar raya rendah karbon menjelang 2030," katanya.
Difahamkan, STARS sudah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Johor dan Selangor.