Perak lancar aplikasi Talent Perak, mudahkan urusan mencari kerja

Abd Razak Mohd Ali
September 17, 2022 17:28 MYT
Kerajaan Perak menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) melancarkan aplikasi Talent Perak bagi memudahkan urusan mencari pekerjaan terutama golongan anak muda di negeri ini. - Gambar hiasan/Facebook Talent Perak
IPOH: Kerajaan Perak menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) melancarkan aplikasi ‘Talent Perak’ bagi memudahkan urusan mencari pekerjaan terutama golongan anak muda di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata aplikasi berkata aplikasi berkenaan sudah boleh dimuat turun ke telefon pintar dan digunakan mulai hari ini.
Katanya, pencari kerja tidak lagi perlu mengemukakan resume secara fizikal sebaliknya boleh terus memohon pekerjaan secara atas talian menerusi aplikasi Talent Perak.
“Para pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi ini di telefon bimbit masing-masing melalui Google Play Store dan boleh membuat carian jawatan kosong mengikut kategori demografik, industri, pengajian dan peringkat jawatan yang berdekatan dengan jarak lokasi pengguna.
“Talent Perak kini dalam peringkat versi Beta dan pihak PASAK akan mendapatkan input serta maklum balas daripada pengguna untuk memastikan aplikasi tersebut dapat diakses dengan lancar.
“Pembangunan aplikasi tersebut adalah antara usaha berterusan oleh kerajaan negeri untuk memberi fokus kepada penyediaan peluang dan persiapan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri selain memastikan kebolehpasaran graduan Perak sentiasa dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Perasmian Karnival Anak Muda (KAMU) @ Karnival Lokein-O-Rama dan Majlis Pelancaran Aplikasi Talent Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, usaha berkenaan selari dengan salah satu dari enam agenda utama Perak Sejahtera 2030 iaitu Pembuatan Keputusan Berpacukan Data.
“Ini adalah selari dengan komitmen Kerajaan Negeri yang sedang giat membuka kawasan-kawasan industri baru di Perak selain peningkatan permintaan daripada syarikat-syarikat multinasional untuk membuka atau meluaskan operasi mereka di negeri ini,” katanya lagi.
Terdahulu pada majlis berkenaan, Saarani turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PASAK, Institut Darul Ridzuan (IDR) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melaksanakan program-program pembangunan belia di Perak.
Ia disempurnakan IDR yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Maisarah Ahmad; PASAK diwakili Pengarahnya, Mohd Misbahul Munir Masduki serta PERKESO diwakili Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Azirruan Arifin.
Mengulas lanjut Saarani berkata, melalui MoU tersebut, tiga pihak berkenaan akan bekerjasama untuk melaksanakan program berbentuk pembangunan kerjaya, latihan kemahiran serta penyelarasan data pekerjaan.
Katanya maklumat berkenaan kemudiannya akan digunakan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negeri menerusi ketersediaan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negeri Perak.
#PASAK #Talent Perak #aplikasi #Menteri Besar #Saarani Mohamad #cari kerja #anak muda #telefon pintar
;