Perak laksana kursus TVET penjagaan warga emas melalui Program Santunan Kasih
Bernama
Oktober 6, 2023 15:17 MYT
Oktober 6, 2023 15:17 MYT
IPOH: Sebanyak 170 peserta menyertai latihan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) penjagaan warga emas secara berperingkat di Perak sejak September lepas di bawah Program Santunan Kasih yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak Salbiah Mohamed berkata peserta diberi latihan TVET penjagaan warga emas di bawah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai agensi penyelaras.
Beliau berkata aspek penjagaan kesihatan, pengurusan psikologi, keperluan asas, integrasi dan keselamatan warga emas merupakan antara elemen penting yang diberi perhatian supaya golongan warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan terjamin di bawah program berkenaan.
"Latihan penjagaan warga emas ini juga secara tidak langsung dapat memperkasakan peserta untuk menaik taraf kehidupan menerusi kemahiran yang diperoleh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santunan Kasih Perak di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Salbiah berkata Program Santunan Kasih juga menyediakan ekosistem sistematik bagi penjagaan warga emas termasuk menyediakan platform merangkumi pangkalan data penjaga bertauliah dan terlatih, dorongan kerjaya dan keusahawanan serta padanan penjaga yang memerlukan.
Katanya, program itu turut menyediakan sistem sokongan sesama penjaga dan agensi berkaitan dan juga penyampaian maklumat dan misi kerajaan negeri bagi memajukan bidang penjagaan.
"Melalui program ini juga, ia akan menjadi sumber data bagi penggubalan dasar dalam jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, seorang peserta T. Manimala, 49, dari Chemor dekat sini berkata latihan TVET penjagaan warga emas yang disertainya banyak memberi ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga golongan warga emas dengan betul.
"Latihan ini mengajar bagaimana cara untuk bercakap selain belajar memberi ubat dengan cara yang betul dan tidak menyusahkan mereka (warga emas)," katanya.
Bagi Nur Athirah Azmi, 24, dari Teluk Intan pula, generasi muda digalakkan menyertai latihan TVET penjagaan warga emas sebagai satu daripada peluang untuk menjana pendapatan.
-- BERNAMA