Perak komited tangani masalah projek perumahan terbengkalai, sedia lebih banyak rumah mampu milik
Bernama
September 6, 2024 12:10 MYT
September 6, 2024 12:10 MYT
IPOH: Kerajaan negeri Perak komited menangani isu projek perumahan terbengkalai melalui Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Sakit dan Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPSPT) di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Perak komited menangani 58 projek perumahan terbengkalai melalui Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Sakit dan Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPSPT) di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
- Lima projek terbengkalai sedang dipantau secara aktif oleh LPHP, termasuk D'Aman Residensi Meru Raya yang disasarkan siap pada Disember 2024.
- Kerajaan negeri Perak juga menyasarkan 1,929 unit Rumah Perakku, termasuk rumah kos rendah dan mampu milik, akan siap sebelum akhir tahun ini, dengan penambahbaikan syarat kelayakan pendapatan bagi pemilikan rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata pada dasarnya JKPSPT akan memberi tumpuan menangani masalah 58 projek perumahan terbengkalai melibatkan 4,007 unit kediaman seperti direkodkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN) sehingga 31 Mei lepas.
"Jawatankuasa ini ditubuhkan melalui LPHP yang akan bekerjasama secara strategik dengan JPN untuk memantau sekali gus menangani isu perumahan sakit dan terbengkalai di Perak.
"Fokus kepada tiga aspek utama iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah, pengumpulan data serta maklumat teknikal yang komprehensif selain pemulihan projek terbengkalai secara sistematik dan efisien di Perak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Sandrea berkata setakat ini lima projek dikenal pasti sebagai terbengkalai iaitu D'Aman Residensi Meru Raya (Ipoh), Taman Tapah Permai (Tapah), Taman Cempaka II (Manjung), Taman Seri Emas (Kampar) dan Taman Limau Mas (Beruas).
Tambah beliau kelima-lima projek itu berada di bawah pemantauan aktif LPHP dan masalah yang melingkari pembangunan di kesemua lokasi akan diselesaikan secara berperingkat.
"Buat masa ini projek D'Aman Residensi Meru Raya disambung semula pada akhir Julai lepas dengan sasaran untuk mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Dis 2024," katanya.
Menyentuh mengenai pembinaan perumahan mampu milik di Perak, Sandrea yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja menjelaskan pihaknya menyasarkan 1,929 unit Rumah Perakku akan siap dibina sebelum penghujung tahun ini.
Beliau berkata pembinaan kediaman berkenaan akan melibatkan beberapa lokasi terpilih di seluruh negeri selain terarah kepada projek perumahan kos rendah (Rumah Perakku I), kos sederhana rendah (Rumah Perakku II) serta mampu milik (Rumah Perakku III).
"Tahun lepas empat projek rumah mampu milik berjaya disiapkan membabitkan 356 unit Rumah Perakku I, II dan III di beberapa lokasi terpilih membabitkan daerah Kerian, Kampar dan Hulu Perak.
"Sebanyak 100 unit Rumah Perakku I di Taman Kerian Putra, 107 unit Rumah Perakku II di Selinsing serta Taman Kerian Putra manakala 149 unit pula membabitkan Rumah Perakku III di Tualang Sekah Fasa 2, Taman Kerian Putra dan Gerik," katanya.
Beliau berkata bagi syarat kelayakan pemilikan Rumah Perakku ialah had pendapatan isi rumah merupakan indikator yang diberi penambahbaikan bagi memastikan lebih ramai rakyat terutama golongan B40 memiliki kediaman sendiri.
"Kerajaan Negeri pada tahun ini telah menambah baik had syarat kelayakan pendapatan isu rumah pembeli Rumah Perakku I daripada RM3,860 kepada RM5,000 sebulan.
"Manakala, syarat kelayakan pendapatan isi rumah pembeli Rumah Perakku II dinaikkan daripada RM7,000 kepada RM8,000 sebulan," katanya.
Dalam pada itu, Sandrea berkata inisiatif ini juga secara tidak langsung membuktikan kerajaan negeri sentiasa memberi penumpuan terhadap bidang perumahan yang begitu signifikan dalam kalangan rakyat.
-- BERNAMA