Perak kenal pasti, pantau beberapa ajaran sesat

Abd Razak Mohd Ali
September 28, 2024 12:45 MYT
Saarani (kanan0 menerima cenderahati daripada Timbalan YDP Jam’iyah Perak, Datuk Abdul Ghani Ngah. - Foto Astro AWANI
IPOH: Kerajaan Perak telah mengenal pasti beberapa ajaran sesat yang terdapat di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pihak berkuasa sedang memantau kegiatan ajaran sesat berkenaan.
“Sebab dia di bawah Majlis Keselamatan Negara, kita tidak menghebohkan apa yang sedang kita buat.
“Memang kita ada memantau beberapa tempat, beberapa kawasan yang ada unsur-unsur ajaran sesat, yang menyimpang daripada akidah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam’iyah Perak) di sini, hari ini.
Menurut beliau, Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Perak akan membuat kajian mendalam mengenai ajaran-ajaran sesat berkenaan.
“Setelah dipantau, sebahagian daripada mereka disoal siasat dan jika ada kelihatan unsur-unsur ajaran sesat, maka mereka akan buat laporan ke pihak yang lebih atas. Kita ada Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan,” ujarnya
Saarani menjelaskan, tindakan itu tidak dapat dihebahkan kerana bimbang mereka akan lari atau berselindung di sebalik kegiatan lain.
Beliau menasihatkan umat Islam supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat ajaran-ajaran yang meragukan.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) mengesahkan kewujudan gerakan ajaran sesat Millah Abraham di negeri ini, tetapi dalam skala kecil.
Susulan itu, Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim, berkata JMNPk akan membuat sekatan termasuk mewartakan fatwa mengenainya bagi mengelak ajaran sesat itu daripada merebak.
Mengulas mengenai premis yang ada kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd di Perak, Saarani berkata, beliau percaya kebanyakannya telah ditutup selepas serbuan pihak berkuasa.
#Saarani Mohamad #ajaran sesat #GISB #Jabatan Agama Islam Perak
;