Perak kenal pasti lokasi pembangunan industri berteknologi tinggi

Bernama
Oktober 14, 2023 09:22 MYT
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) menyertai acara Fun Walk pada Program Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Kerajaan negeri Perak sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian bagi membangunkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, utara negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sebelum pengumuman Belanjawan 2024, pihaknya sudah mengenal pasti sebidang tanah seluas 40 hektar bagi pembangunan kawasan perindustrian berteknologi tinggi.
"Tetapi dengan pengumuman ini (Belanjawan 2024), saya melihat ia memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 ekar (400 hektar) tanah. Jadi, kita kena lihat semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Dataran Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Saarani berkata lokasi spesifik kawasan industri itu akan diumumkan selepas penetapan dibuat menerusi perbincangan dengan pihak berkaitan.
"Kita tak mahu dedahkan sekarang kerana akan memberi pelbagai implikasi. Contohnya, seperti apabila kita umumkan projek pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, secara tiba-tiba harga tanah di situ naik secara mendadak," katanya.
Beliau berkata pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi itu juga dijangka mempercepatkan proses permohonan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan utara Perak.
"Kita memerlukan kapasiti air yang banyak, jadi dengan adanya kemudahan ini, ia akan membantu bagi memenuhi permintaan pengairan padi serta industri yang akan dibangunkan di kawasan berkenaan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata cadangan pengurangan duti hiburan di negeri itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
"Kita akan buat kajian dahulu untuk lihat kesannya. Siapa untung, siapa rugi dan lebih cantik semua menerima keuntungan," katanya.
Dalam pembentangan belanjawan itu, Perdana Menteri menyeru kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat kreatif tempatan, di samping merancakkan aktiviti pelancongan negara.
-- BERNAMA
#Kerajaan Negeri Perak #kawasan perindustrian berteknologi tinggi #Saarani Mohamad #kerian