Perak kenal pasti kos pembinaan terowong air Sungai Perak-Bukit Merah
Amirrul Rabbani
Mei 30, 2022 23:35 MYT
Mei 30, 2022 23:35 MYT
TAIPING: Kerajaan Perak sedang mengenal pasti kos bagi pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah, Bagan Serai untuk mengatasi kekurangan bekalan air di sawah padi terutama semasa musim kemarau.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri sememangnya merancang pembinaan terowong berkenaan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang terhadap masalah tersebut.
Katanya sekiranya ia dapat dilaksanakan, terowong berkenaan akan berfungsi untuk menyalurkan air dari Sungai Perak ke kolam berkenaan apabila parasnya mula menyusut.
“Memang ada dalam perancangan kita untuk membina terowong penyaluran air dari Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah.
“Akan tetapi ia bukan akan berfungsi setiap masa (sekiranya berjaya dibina kelak). Sebaliknya ia akan berfungsi pada waktu-waktu memerlukan seperti pada musim kemarau.
“Namun demikian ketika ini kerajaan negeri masih di peringkat kajian ke atas kos pembinaanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Menteri Besar bersama Rakyat (Mesra) Daerah Larut, Matang dan Selama di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering di sini pada Isnin.
Saarani terdahulu diminta mengulas berhubung laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian dalam hantaran di laman Facebook yang memaklumkan paras ais di Kolam Bukit Merah telah mencapai paras 20 kaki.
Dalam pada itu, Saarani memberitahu isu penyusutan paras air berkenaan telah dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria dalam Mesyuarat Exco pada dua minggu lalu.
Menurutnya, dalam mesyuarat berkenaan, Razman ada mengusulkan cadangan supaya kerja-kerja pembenihan awan dapat dilakukan bagi mengisi air di Kolam Bukit Merah
“Kolam Bukit Merah bergantung sepenuhnya daripada air hujan. Jadi apabila tiada hujan atau tiba musim kemarau, kesannya sangat besar.
“Razman ada mencadangkan supaya kerajaan negeri dapat membuat membuat permohonan pembenihan awan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Apabila ia dapat dilaksanakan, maka ia akan menurunkan hujan dan akan mengisi semula air di kawasan tersebut,” jelas beliau.
Pada masa sama, Menteri Besar turut mengingatkan agar para petani yang bergantung kepada sumber air di Kolam Bukit Merah untuk sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa selain memastikan tiada pembaziran dalam penggunaan sumber air.