Perak kembali banjir, situasi di Kelantan dan Terengganu semakin buruk, Selangor kian pulih

Bernama
Disember 16, 2023 21:48 MYT
Di TERENGGANU, bilangan mangsa di 36 PPS semakin meningkat iaitu 2,622 orang daripada 637 keluarga setakat 8 malam. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perak kembali dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka petang tadi susulan hujan lebat berterusan manakala di Kelantan dan Terengganu, jumlah mangsa semakin meningkat sementara situasi di Selangor beransur pulih.
Di Teluk Intan, PERAK, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dibuka pada 6 petang untuk menempatkan 30 mangsa daripada tujuh keluarga yang dipindahkan dari kawasan Batu 9, Lorong Kedah dan Lorong Belakang Klinik di Changkat Jong.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Perak bagaimanapun memaklumkan tiada jalan ditutup atau terputus hubungan akibat bencana itu.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat mendadak kepada 3,780 orang daripada 1,170 keluarga setakat 8 malam berbanding 1,350 orang daripada 368 keluarga yang direkod pada sebelah pagi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, mangsa dari Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas sedang berlindung di 15 PPS di tiga jajahan itu.
Di Tanah Merah, mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Padang Kijang, Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim dan Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang.
Hanya tiga PPS dibuka di Kuala Krai berbanding lapan pada sebelah pagi membabitkan Pejabat Veterinar, SK Banggol Guchil dan SK Chenulang.
Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa tertinggi dan mereka ditempatkan di SK Gual Tinggi, SK Sri Rantau Panjang (2), SK Gual To'Deh, SK Kampung Rahmat, SMK Baroh Pial, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang dan SMK (A) Lati.
Di TERENGGANU, bilangan mangsa di 36 PPS semakin meningkat iaitu 2,622 orang daripada 637 keluarga setakat 8 malam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu, Marang menjadi daerah kelima dilanda bencana itu dengan 231 mangsa daripada 41 keluarga ditempatkan di empat PPS.
Dungun pula daerah paling teruk terjejas dan merekodkan 1,615 mangsa daripada 399 keluarga berlindung di 14 PPS manakala di Hulu Terengganu, sejumlah 282 orang daripada 64 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.
Di Kemaman, 227 orang daripada 54 keluarga dipindahkan ke tiga PPS manakala di Setiu, sejumlah 267 orang daripada 79 keluarga masih berlindung di lapan PPS sejak Khamis.
Berdasarkan laman sesawang rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Nerus dan Sungai Marang di tahap bahaya manakala Sungai Setiu dan Sungai Tumpat di Kemaman pula mencapai tahap waspada.
Di SELANGOR, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa menurun daripada 78 orang (26 keluarga) pagi tadi kepada 49 membabitkan 19 keluarga setakat 9 malam dan kini berlindung di PPS SK Jaya Setia serta Balai Raya Parit Mahang di Kuala Selangor.
Portal Public Info Banjir JPS memaklumkan Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang di tahap bahaya dengan bacaan 4.84 meter setakat 8 malam.
Dua sungai di daerah Klang mencatat bacaan di tahap amaran termasuk Sungai Binjai di Pekan Meru dengan 4.2 meter manakala Sungai Klang di Bandar Klang dan Selat Muara masing-masing merekodkan bacaan 2.77 meter dan 2.96 meter.
Dua lagi yang merekodkan bacaan di tahap amaran termasuk Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor (7.33 meter) manakala Sungai Damansara di kawasan Batu 3 serta Kampung Melayu Subang di Petaling masing-masing merekodkan bacaan 5.38 meter dan 17.02 meter.
-- BERNAMA
#banjir #Perak #Kelantan #terengganu #Selangor #PPS
;