Perak kekal pendirian tidak mahu bekal air mentah ke negeri lain - MB

Amirul Awaludin
Mac 25, 2022 13:57 MYT
Menurut Saarani, jika bekalan air mentah di Sungai Perak disalurkan juga ke negeri lain, ia akan menyebabkan penyusutan paras air sungai dan seterusnya akan menjejaskan penternakan ikan sangkar. - Gambar fail
IPOH: Kerajaan Perak kekal dengan pendirian untuk tidak membekalkan air mentah kepada negeri lain seperti Pulau Pinang sebaliknya mengutamakan kepada penggunaan air di peringkat domestik.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini kerana penggunaan sumber air mentah di negeri ini hanya mencukupi untuk sektor pertanian, industri dan penjanaan tenaga elektrik.
Katanya, berdasarkan kepada kajian yang dijalankan pihak-pihak seperti Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), penyaluran air mentah ke luar akan memberi kesan langsung yang buruk kepada sektor-sektor berkenaan di Perak.
Jelas beliau, sekiranya bekalan air mentah di Sungai Perak disalurkan juga ke negeri lain, ia akan menyebabkan penyusutan paras air sungai dan seterusnya akan menjejaskan penternakan ikan sangkar di Parit, Kampung Gajah dan Teluk Intan.
“Kita sudah buat kajian secara saintifik oleh TNB, LAP dan JPS. Kesemua jabatan dan pihak ini tidak bersetuju jika dibenarkan Pulau Pinang mengambil air dari Sungai Perak.
“Kemudian, Perak dijangka menerima lebih banyak pelaburan baharu dengan pembukaan kilang-kilang seperti di Tanjung Malim dan Bagan Serai. Lagi banyak kilang dibuka, lagi banyak keperluan air terutama kilang berasaskan getah.
“Ini bermakna kita perlu bersedia untuk membekalkan air secukupnya kepada kilang-kilang perindustrian yang akan mula datang di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas sambutan Hari Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am di Ulu Kinta dekat sini, pada Jumaat.
Saarani terdahulu diminta mengulas tentang saranan Kerajaan Persekutuan yang meminta Pulau Pinang, Kedah dan Perak menyelesaikan isu pembekalan air dengan baik.
Pada Selasa, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah dilaporkan berkata saranan itu dibuat susulan Kajian Sumber Air 2010-2050 (Perunding Zaaba 2008) yang merumuskan bahawa kawasan utara Semenanjung meliputi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dilanda kekurangan bekalan air yang ketara pada tahun 2050.
Dalam pada itu, Saarani berkata berdasarkan kepada kajian yang dibuat UPEN, Negeri Perak diramal mengalami pertambahan jumlah penduduk mencecah 3 juta orang menjelang tahun 2050.
Justeru katanya kerajaan negeri terpaksa memberi keutamaan kepada penggunaan domestik dan tidak menjual air mentah terutama daripada Sungai Perak ke negeri lain.
“Saya minta maaf. Bukan kerana saya tidak bersimpati (dengan negeri lain dalam isu ini) namun kita kena menyediakan bekalan air yang secukupnya untuk Negeri Perak,” jelasnya lagi.
#bekal air mentah #Saarani Mohamad #MB Perak #sungai perak
;