Perak kaji keperluan ketat SOP 'dine-in'
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 13, 2021 11:49 MYT
Ogos 13, 2021 11:49 MYT
KAMPAR: Kerajaan negeri Perak sedang mengkaji keperluan untuk memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti makan di dalam premis (dine-in) atau mengikut ketetapan yang di buat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kajian itu akan mengambil kira keperluan dan kehendak semasa.
Menurutnya, buat masa ini SOP yang ditetapkan MKN tidak mensyaratkan pengendali dan pekerja kedai makan perlu lengkap dua dos vaksinasi.
“Ini menjadi satu cabaran bagi kami di mana kita menasihati untuk mana-mana operator restoran, yang mana saya lihat ada juga yang tidak buka sebab tidak mempunyai pekerja yang divaksinasi, untuk mengambil langkah lebih berhati-hati.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Kampar di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, hari ini.
Nolee Ashilin berkata, adalah tidak memadai hanya pelanggan yang divaksinasi, sebaliknya pekerja juga harus divaksinasi juga.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menggalakkan pengendali restoran dan pekerja mereka juga divaksinasi.
Katanya, antara langkah itu termasuk melaksanakan segera program mobilisasi vaksin komuniti (MOVAK) anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Perpaduan Negara.
Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri juga akan mempercepatkan proses vaksinasi untuk barisan hadapan dalam industri pelancongan.
Baru-baru ini, beliau memberitahu, kira-kira 2,000 daripada lebih 5,000 orang barisan hadapan sektor pelancongan di Perak masih belum menerima vaksin.
#SOP
#dine-in
#makan dalam premis
#vaksin
#vaksinasi
#pekerja restoran
#pelanggan
#kelonggaran sop
#kesihatan
#COVID-19
#pandemik
#Nolee Ashilin Mohammed Radzi