Perak kaji hadkan operasi pusat hiburan sehingga 1 pagi

Bernama
November 30, 2018 04:30 MYT
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) menerima cenderahati potret daripada Pengarah Festival Pulara 9, Malim Ghozali (kiri) pada Majlis Malam Nusantara Pulara Mendunia di Hotel Casuariana Meru. - Foto BERNAMA
Kerajaan Perak akan mengkaji untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di negeri ini kepada pukul 1 pagi setiap hari.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai keperluan untuk memendekkan operasi pusat hiburan di Perak.
"Bagi saya di Perak terutama di Ipoh saya nampak keadaan masih terkawal kalaupun ada orang berhibur sehingga awal pagi, ia tidak mengganggu-gugat ketenteraman awam.
"Saya akan mendapatkan nasihat daripada PBT sebelum ia perlu dilaksanakan atau sebaliknya," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan edisi ke-6 dan Malam Nusantara sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa ke-9 (Pulara) di sini malam tadi.
Beliau diminta mengulas sama ada mahu mengikut langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bercadang untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada pukul 1 pagi.
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata bagaimanapun ada sebilangan kecil diberikan kebenaran khas untuk melanjutkan waktu operasi hingga pukul 3 atau 5 pagi.
Katanya, DBKL juga akan memulakan penguatkuasaan terhadap pusat hiburan yang beroperasi lebih dari pukul 1 pagi bermula Januari tahun depan.
Sementara itu, Ahmad Faizal ketika berucap berkata penganjuran Pulara menyediakan wadah serta modaliti untuk para penyair serta penulis bertemu, bermesra dan pada analisis terakhir menyumbang terhadap dunia persahabatan.
"Pulara bukan hanya merupakan acara pit stop bagi para penyair dan pengarang dunia untuk singgah dan bercakap-cakap tentang hal-hal yang picisan tetapi harus mencakupi isu-isu serius yang mencerminkan kehidupan sang penulis," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #Kerajaan Perak #Menteri Besar Perak #pbt #Perak #pihak berkuasa tempatan #pusat hiburan #waktu operasi
;