Perak kaji cadangan larangan guna beg plastik, polistirena di semua PBT
Amirrul Rabbani
Mei 13, 2023 11:27 MYT
Mei 13, 2023 11:27 MYT
BATU GAJAH: Kerajaan Perak sedang menyemak semula dan mengkaji cadangan bagi pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata perkara berkenaan dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) baru-baru ini dan mendapati kerajaan negeri belum mempunyai sebarang dasar bagi pelaksanaannya.
Justeru katanya, beliau akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim bagi memastikan dasar berkenaan dapat dirangka agar ia selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan yang menyasarkan sifar penggunaan beg plastik menjelang tahun 2025.
“Kita akan ambil kira usaha bagaimana hendak mengurangkan ataupun sampai satu tahap yang sesuai untuk melarang penggunaan bahan-bahan yang kurang mesra dengan alam terutama beg plastik dan polistirena.
“Ini kerana dalam menetapkan sesuatu dasar itu mudah, walau bagaimanapun yang penting adalah untuk kita memastikan supaya agensi kerajaan dan orang awam bersedia (akan pelaksanaannya),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Eco Green Market anjuran Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di Pasar Awam Batu Gajah, pada Sabtu.
Hadir sama, Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli serta Setiausaha MDBG, TPr Andri Arif.
Dalam pada itu, Sandrea berkata kajian yang dilaksanakan itu juga meliputi kaedah pelaksanaan seperti di negara-negara yang telah melaksanakan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena.
Menurutnya usaha itu bagi memastikan wujud ruang alternatif agar segala perkara atau dasar yang ditetapkan kerajaan negeri tidak akan membebankan mana-mana pihak dalam kalangan rakyat.
“Apabila kita hendak melarang penggunaan sesuatu bahan itu, apa alternatif yang ada? Dan bagaimana kita boleh bantu untuk sektor perniagaan dan juga orang awam menyesuaikan diri?
“Ini kerana walaupun sesuatu dasar itu diwujudkan dengan tujuan yang baik, namun jika ia terlalu menyusahkan masyarakat dan ahli perniagaan mungkin ia akan dapat tentangan ataupun kurang mendapat kerjasama,” katanya lagi.
Sandrea sebelum itu diminta mengulas berkenaan hasrat kerajaan negeri sama ada untuk meneruskan semula pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik dan polistirena yang telah tertangguh pada tahun 2017 atau sebaliknya.
Perak sebelum ini pernah mengumumkan larangan penggunaan dua bahan itu mulai Jun 2017, namun pada Mei media melaporkan ia ditangguhkan bagi dijalankan kajian menyeluruh terhadap pelaksanaannya.
Baru-baru ini media melaporkan Kerajaan Persekutuan menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara menjelang tahun 2025.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilaporkan berkata setakat ini, langkah itu dilaksanakan secara secara berperingkat, daripada premis tetap kepada premis perniagaan, termasuk warung atau peniaga gerai tepi jalan.