Perak jangka bentang belanjawan defisit November ini, langkah pengurusan kewangan lebih baik

Bernama
Oktober 25, 2024 06:45 MYT
Kerajaan Perak dijangka membentangkan belanjawan defisit pada November ini sebagai langkah pengurusan kewangan negeri yang lebih baik, kata Menteri Besar Saarani. - Gambar fail Bernama
IPOH: Kerajaan Perak dijangka membentangkan belanjawan defisit pada November ini sebagai langkah pengurusan kewangan negeri yang lebih baik, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, ia mengambil kira pelbagai usaha kerajaan untuk terus melonjakkan pembangunan negeri selain memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara.
"Kelebihan unjuran defisit ini akan memberi kesan baik kepada agensi dan jabatan kerajaan negeri khususnya Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian termasuk lain-lain jabatan berkaitan apabila mereka lihat defisit, maka mereka akan bekerja keras untuk jadikan ia lebihan.
"Kita ambil contoh pada tahun lepas, kita turut bentangkan belanjawan defisit RM67 juta tetapi pada hujung tahun ini kerajaan negeri yakin akan mencapai lebihan (surplus), dalam erti kata lain kita takkan berhutang," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program 'Ngopi Siswa Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Bersama Cikgu Saarani serta Penyerahan Wakalah Anak Syarikat Yayasan Perak dekat sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah.
Terdahulu, Saarani menyampaikan bantuan wakalah Anak Syarikat Yayasan Perak, YP Nominees Holdings Sdn Bhd dengan pemberian RM500 setiap seorang kepada 100 mahasiswa USAS dan UPSI.
Program turut meraikan 10 penerima Insentif Siswa Yayasan Perak terdiri daripada pelajar di peringkat Sijil hingga Ijazah Sarjana Muda.
Yayasan Perak telah meluluskan penyerahan bantuan berjumlah RM3.36 juta kepada 4,556 penerima manfaat pada tahun ini hingga September lepas. - BERNAMA
#Belanjawan 2025 #belanjawan perak #Belanjawan Defisit #Menteri Besar Perak
;