Perak jamin penjaja, peniaga dapat tapak bazar Ramadan - Exco

Bernama
Januari 13, 2022 04:00 MYT
Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan semua peniaga dan penjaja akan diberikan tapak bazar Ramadan bagi menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing. - Gambar hiasan/BERNAMA
IPOH: Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan semua peniaga dan penjaja akan diberikan tapak bazar Ramadan bagi menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Beliau berkata seperti tahun lepas, pihaknya telah mengarahkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memberikan tapak lokasi baharu kepada penjaja dan peniaga yang memohon untuk tapak bazar Ramadan.
"Sebagai contoh, kalau peniaga itu tidak mendapat tapak bazar di Stadium Perak atau Medan Gopeng, kita akan buka tapak bazar Ramadan yang baharu di tempat lain supaya mereka dapat peluang untuk berniaga.
"Saya rasa konsep itu akan kita bawa tahun ini juga kerana isu tapak bazar itu kita dapat selesaikan dengan membuka lokasi-lokasi (tapak bazar Ramadan) baharu sekali gus tidak ada yang terpinggir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak Tahun 2022 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata pihaknya yakin lebih ramai lagi penjaja dan peniaga bazar mengambil peluang untuk menjalankan perniagaan berbanding tahun sebelumnya disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sekarang ini pun banyak agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) yang menawarkan pelbagai pinjaman mudah kepada peniaga bagi memastikan mereka mendapat pinjaman modal pusingan untuk mula berniaga.
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata Tekun Nasional Negeri Perak telah meluluskan pinjaman sebanyak RM2.4 juta pinjaman kepada 295 usahawan di negeri itu sehingga kini.
"Tekun Nasional menawarkan pelbagai skim pinjaman antaranya bantuan pembiayaan sehingga RM5,000 bagi yang tiada daftar atau lesen perniagaan dan pembiayaan sehingga RM10,000 bagi mereka yang mempunyai daftar dan lesen perniagaan," katanya.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan #peniaga #Zainol Fadzi Paharudin #Perak
;