Perak hargai bantuan musim tengkujuh pekebun kecil
Abd Razak Mohd Ali
Disember 22, 2018 05:00 MYT
Disember 22, 2018 05:00 MYT
Seramai 24,469 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negeri Perak akan mendapat manfaat daripada bantuan musim tengkujuh yang diumumkan pada Jumaat.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan kerajaan Persekutuan meluluskan bantuan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) itu.
Dalam perkembangan yang sama, kata beliau, kerajaan negeri turut menyokong penuh langkah kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai getah skrap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari 2019.
“Kedua-dua pengumuman ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap kesulitan yang dihadapi oleh para pekebun kecil dan penoreh akibat kejatuhan komoditi getah dan ditambah pula dengan musim tengkujuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Faizal berharap bantuan itu akan membantu meringankan beban para pekebun kecil dan penoreh.
Menurut beliau, langkah-langkah kerajaan persekutuan itu adalah pelengkap kepada beberapa inisiatif kerajaan negeri dalam meringankan bebanan rakyat yang memerlukan, khususnya ibu bapa yang sedang membuat persiapan untuk sesi persekolahan 2019 untuk anak-anak mereka melalui "Program Kembali Ke Sekolah".
Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta kepada Yayasan Perak untuk menyediakan 10,000 set kelengkapan mengandungi beg sekolah, pakaian sekolah dan alat tulis bagi golongan pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan seluruh negeri Perak.
“Kerajaan negeri juga menghargai sumbangan daripada pihak swasta dan badan korporat yang turut membantu memberi sumbangan untuk program ini,” ujarnya.
#Ahmad Faizal Azumu
#bantuan
#bebanan rakyat
#harga lantai
#kerajaan Persekutuan
#musim tengkujuh
#Pakatan Harapan
#pekebun kecil
#penoreh getah
#Program Kembali Ke Sekolah
#risda
#Yayasan Perak