Perak harap projek lebuh raya baharu Gopeng-Kuala Kangsar disegerakan - Saarani
Abd Razak Mohd Ali
Mac 3, 2023 08:00 MYT
Mac 3, 2023 08:00 MYT
PARIT: Perak berharap pembinaan lebuh raya baharu dari Gopeng ke Kuala Kangsar dapat dimulakan segera tahun ini, bagi mengurangkan risiko kemalangan di sekitar Terowong Menora.
Malah, kerajaan negeri optimis projek tersebut dapat diteruskan kerana ia tidak melibatkan peruntukan kerajaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini, pihak syarikat sedang menunggu keputusan Kabinet untuk mendapatkan perjanjian konsensi, di samping beberapa proses lain.
“Saya yakin projek ini akan dapat dilaksanakan sebab kita rasa resah saban minggu akan berlaku kemalangan (termasuk) kemalangan maut di tempat yang digeruni di Terowong Menora.
“Kita harap lagi cepat diluluskan lagi cepat dia dibangunkan, lagi cepat kita boleh membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 2 di Arena Square, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, apabila kerajaan pusat bersetuju dengan syarat konsesi, kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk mempercepat projek itu, termasuk proses pengambilan tanah.
Tahun lalu, kerajaan negeri Perak mengumumkan cadangan projek laluan alternatif sejauh 64 kilometer itu telah diluluskan secara prinsip oleh Kabinet.