Perak harap MOTAC bantu pembangunan Lembah Lenggong
Bernama
Jun 30, 2024 09:15 MYT
Jun 30, 2024 09:15 MYT
LENGGONG: Kerajaan Negeri Perak berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi perhatian terhadap pembangunan Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan termasuk dari segi dana amat diperlukan bagi melaksanakan pembangunan secara terancang selain memastikan khazanah warisan negeri itu kekal terpelihara.
"Kita memahami MOTAC telah berbelanja besar bagi pembangunan di Melaka dan Langkawi. Jadi, inilah masanya mereka datang ke sini untuk membantu kerana bajet yang diperuntukkan kerajaan negeri agak terhad.
"Kalau tiada bantuan, ini akan merencatkan momentum positif yang sedang berlaku. Kita memerlukan banyak benda lagi (infrastruktur) untuk kita bangunkan kawasan ini khususnya bagi jangka masa panjang," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong Outdoor Festival 2024 di Resort Tasik Raban yang turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, juga Ahli Parlimen Lenggong.
SAARANI-LEMBAH LENGGONG 2 (AKHIR) LENGGONG
Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO semasa mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) yang berlangsung di St. Petersburg, Rusia pada 30 Jun 2012.
Selain itu, Lembah Lenggong turut mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan keempat pada 16 Dis 2021 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan 2021.
Saarani berkata setakat ini kehadiran pengunjung ke Lembah Lenggong terutama daripada luar, menunjukkan peningkatan dan ia memberi manfaat khususnya dalam menjana pendapatan penduduk setempat.
"Dulu orang tak berapa faham, apa perlunya dapat penarafan UNESCO dan geopark terutama penduduk setempat. Tetapi apabila ramai pengunjung datang, mereka berbelanja di sini dan ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada para peniaga di sini," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai festival yang dianjurkan, beliau berkata ia memasuki tahun ketiga dan telah berjaya mengumpulkan lebih 30 komuniti aktiviti lasak dari seluruh negara.
Saarani berkata festival tersebut turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti mendaki bukit, meneroka gua, berakit di Sungai Perak, berbasikal lasak dan sebagainya.
"Setiap aktiviti ini bukan sekadar memberi pengalaman menyeronokkan, tetapi juga memberi peluang kepada para peserta untuk menghayati keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Lenggong secara lebih dekat," katanya.
-- BERNAMA